Tonggak pasukan Bluewave Chonburi, Supakorn Sangom disahkan menyertai Terengganu bagi menghadapi baki saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023.

Artikel Berkaitan:

Perkembangan terkini mengenai destinasi baharu buat pemain kaki kiri dari Bangkok itu disahkan sendiri kelab futsal gergasi Thailand tersebut.

Difahamkan pemain berusia 23 tahun itu menyertai Terengganu yang beraksi dalam saingan kumpulan A secara pinjaman sehingga tamat musim ini.

Supakorn merupakan antara prospek buat skuad futsal kebangsaan Thailand pada ketika ini ketika skuad Gajah Perang itu sedang dalam proses transisi tenaga baharu dan lebih muda.

Beliau juga beraksi bersama skuad Thailand dalam Kejohanan Futsal AFF Bawah 20 Tahun yang berlangsung di Tabriz, Iran pada 2019.

Dalam saingan Liga Futsal Thailand sepanjang musim lalu beliau menjaringkan 10 gol dan mencipta sembilan bantuan jaringan.

Musim 2021 menyaksikan beliau dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dalam Kejohanan Futsal Kelab AFF yang berlangsung di Nakhon Ratchasima.

Selain Supakorn Sangom, skuad futsal Terengganu turut diperkuatkan dengan seorang lagi pemain import dari Thailand iaitu Faris Thaiya yang sebelum ini beraksi bersama Shah Alam City.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan liga, Terengganu kini berada di tangga kedua dengan 16 mata dikumpul hasil lima kemenangan dan satu keputusan seri serta satu kekalahan.

Saingan MPFL 2023 menyaksikan empat pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan beraksi di peringkat suku akhir untuk meneruskan misi bagi memburu kejuaraan.