Pasukan pilihan, Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan bergaya pada aksi sulung Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 selepas menundukkan Shah Alam City 8-2 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.

Dibarisi sebahagian besar pemain futsal kebangsaan, JDT mempamerkan aksi cukup meyakinkan walaupun tuan rumah cuba memberikan saingan hebat.

Menarik untuk diperkatakan pada perlawanan ini selepas dua pemain JDT iaitu Abu Haniffa Hassan dan Azri Rahman masing-masing meledakkan hatrik.

JDT hanya memerlukan dua minit untuk berada di hadapan apabila rembatan Abu Haniffa daripada sudut sukar tidak mampu diselamatkan penjaga gol Shah Alam City, Mohamad Aizat Borhanudin.

Berselang lapan minit kemudian, Wellington Pereira Rodrigues mengikat semula kedudukan menerusi percubaan daripada luar kawasan D.

Ketika aksi babak pertama hanya beberapa saat untuk ditamatkan, Azri Rahman meledakkan rembatan bagi sekali lagi memberikan kelebihan buat skuad kendalian Juanito itu.

Ketika separuh masa kedua baru berlangsung seminit, Aliff Roslan mengikat kedudukan juga menerusi percubaan daripada luar kawasan D.

Kedudukan terus berubah pada minit ke-23 apabila Abu Haniffa menyempurnakan sepakan penalti berikutan tindakan Rushdi Hussin yang menggunakan tangannya untuk menghalang percubaan daripada pemain kebangsaan itu.

Jaringan itu nyata meningkatkan lagi moral para pemain JDT untuk menambah jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil tiga jaringan tambahan menerusi Abu Haniffa dan Azri Rahman (dua gol).

Ketinggalan empat gol, Shah Alam City menggunakan taktikal ‘Power Play’ untuk mengurangkan defissit jaringan tetapi ia nyata memakan diri dimana JDT dapat menambah dua lagi gol oleh jaringan sendiri Zainal Abidin Hamzah dan Danial Dain untuk mengesahkan kemenangan sulung buat JDT.