Pahang Rangers mencipta sejarah apabila muncul juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 selepas berjaya menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi agregat 9-6 pada aksi final yang berlangsung sebentar tadi.

Baca Juga:

Kejayaan manis dilakarkan anak buah Gerard Casas Ulestre di Stadium Tertutup Pasir Gudang itu menamatkan penantian Pahang Rangers untuk muncul juara setelah hanya berpuas hati berada di tempat kedua pada edisi 2019 dan 2022.

Meskipun beraksi di gelanggang lawan, para pemain Pahang Rangers jelas mempamerkan disiplin tinggi untuk mencapai kejayaan.

JDT yang memerlukan empat gol tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila ledakan padu Saad Sani pada minit ketiga tidak mampu diselamatkan penjaga gol Pahang Rangers, Zainul Zahin Sinuan.

Jurang semakin dirapatkan oleh tuan rumah menerusi rembatan padu Awalluddin Mat Nawi pada minit ke-12 bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Kesilapan melakukan kekasaran mudah nyata menjadi masalah buat JDT sehingga memberikan ruang kepada Sergio Jamur untuk menyamakan kedudukan hasil dua gol menerusi sepakan penalti kedua (Second Spot) pada minit ke-16 dan 19.

Sepakan penalti tersebut diberikan kepada Pahang kerana JDT melakukan tambahan dua kekasaran terkumpul (melebihi lima kekasaran).

Pahang Rangers berada dalam tekanan pada minit ke-23 berikutan kad merah yang diterima Farhan Khairul Anuar.
Jaringan Awalludin pada minit ke-30 bagi menjadikan kedudukan 3-2 masih belum cukup untuk menghalang pesta yang penuh bermakna buat Pahang Rangers itu.