Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memberikan sokongan padu serta nasihat berguna buat Lee Zii Jia dalam usaha untuk melihat pemain perseorangan nombor satu negara itu kembali tampil lebih baik.
Baca Juga:
- Peminat Gesa Lee Zii Jia Dapatkan Jurulatih
- Terbuka India 2023: Pemain Ranking Ke-22 Dunia Kecewakan Lee Zii Jia
- Terbuka Malaysia 2023: Lee Zii Jia Tewas Di Pusingan Pertama
Seperti yang dapat disaksikan pada ketika ini, Zii Jia sentiasa mendapat kecaman segelintir peminat badminton tanah air apabila beliau gagal memperagakan aksi terbaik pada tiga pertandingan awal pada tahun ini.
Selepas tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, beliau kemudiannya sekadar mara ke pusingan kedua Terbuka India dan Indonesia Masters.
Cabaran di Terbuka Malaysia dan Indonesia Masters menyaksikan beliau mencatatkan kemenangan pada set pertama tetapi gagal untuk tampil konsisten dan kemudiannya tewas kepada Kodai Naraoka dan Angus Ng Ka Long.
Walaupun skrip berbeza di Terbuka India, namun Lee Zii Jia turut tewas pada penentuan set ketiga. Keadaan yang dilihat mungkin faktor mental yang perlu dititikberatkan.
Tambahan pula terdapat masalah melibatkannya dengan bekas jurulatih, Indra Wijaya berhubung kontrak yang ditamatkan pada November 2022. Keadaan yang jelas mungkin dapat dikaitkan dengan penurunan prestasi cukup ketara oleh beliau.
Sehubungan dengan itu, Datuk Lee Chong Wei terpanggil untuk menasihati anak kelahiran Alor Setar tersebut untuk bangkit daripada kesukaran dihadapinya.
“[Kento] Momota bergelut untuk mendapatkan semula keyakinannya dan saya tidak mahu seorang lagi pemain yang bagus seperti Lee Zii Jia mengalami pengalaman yang sama.”
“Saya tahu Zii Jia sedang menghadapi waktu yang sukar pada ketika ini tetapi saya sentiasa menyokongnya,” ujar Chong Wei menurut sumber laporan The Star.
“Saya juga pernah merasai perkara ini. Ia boleh menjadi sunyi [keseorangan] dan membuatkan seseorang itu akan mudah untuk kehilangan fokus.”
“Saya mahu Zii Jia untuk melakukan dengan baik, begitu juga dengan semua bekas pemain. Kami mahu yang terbaik daripadanya dan melihat dia membuatkan negara bangga dengan kejayaannya.”
“Saya mahu menggalakkannya supaya melupakan tentang semua kekalahan di peringkat awal dan memulakannya kembali terutamanya kelayakan Sukan Olimpik sudah semakin hampir.”
“Saya tidak tahu apa yang berlaku antara dia dengan bekas jurulatihnya tetapi dia perlu untuk menyelesaikan segala gangguan luar yang boleh mempengaruhi persembahannya di dalam gelanggang terlebih dahulu.”
“Saya hanya berharap dia tidak kehilangan rasa minat untuk bermain,” tambah Lee Chong Wei lagi.