Brighton berjaya benam Man United dengan gol penalti pada lewat perlawanan oleh Alexis Mac Allister pada minit ke-99 perlawanan.

Man United berkunjung ke Amex Stadium dengan harapan dapat memintas semula Newcastle yang berada di tangga ketiga dan menjarakkan diri lebih jauh di tangga keempat – yang merupakan slot terakhir ke UCL musim hadapan.

Rekod buruk United di tempat lawan

Namun rekod Man United berdepan pasukan 9 teratas di tempat lawan musim ini sangat merisaukan. Dan mereka sekali lagi kalah.

Giliran Brighton pula benam Man United menjadikan Setan Merah kini kalah dalam 8 perlawanan terakhir mereka di tempat lawan berdepan 9 pasukan teratas liga.

Sejarah buat Brighton benam Setan Merah

Brighton turut mencatatkan rekod kemenangan ‘back to back’ pertama kalinya dalam EPL ke atas Man United musim ini.

Mereka menang 2-1 di Old Trafford pada awal musim ini. Ketika itu Brighton masih dibimbing oleh Graham Potter. Kemudian di tangan De Zerbi, pasukan tersebut berjaya menewaskan Man United 1-0 di tempat sendiri.

Alexis Mac Allister wira Brighton

Manchester United bergantung kepada kecemerlangan De Gea untuk menafikan beberapa siri percubaan bahaya Brighton.

Termasuk pada minit ke-4 oleh Kaoru Mitoma. Kemudian De Gea juga melengahkan kemenangan Brighton dengan beberapa penyelamatan minit akhir permainan.

Namun sebelum wisel penamat dibunyikan, Luke Shaw telah didapati handball. Penalti diberikan kepada Brighton.

Juara Piala Dunia 2022, Alexis Mac Allister, dengan tenang menewaskan De Gea, menghantar penjaga gol itu ke arah yang salah.

Sudah tentunya tiada ruang langsung untuk Man United membalas gol itu. Dan terpaksa menelan satu lagi kekalahan perit di tempat lawan.

Tamat perlawanan, Brighton benam Man United 1-0 dalam aksi yang meneruskan lagi cabaran 4 teratas Brighton musim ini.

Persaingan 4 teratas

Man United kini cuma 4 mata di atas pasukan tangga kelima Liverpool. Namun menarik nafas lega kerana masih ada baki 1 perlawanan dalam tangan berbanding musuh tradisi mereka itu.

Brighton memberikan kekalahan kelapan Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris setakat ini.