Pemain tengah Selangor, Brendan Gan menganggap tiada alasan untuknya mengabaikan tahap kecergasan fizikal walaupun pasukan tidak dibenarkan menjalani sesi latihan dalam tempoh dua minggu kawalan pergerakan susulan penularan wabak COVID-19.
Jelasnya, aspek penjagaan pemakanan dan kecergasan diri menjadi keutamaan dalam diri seorang pemain bola sepak walaupun tidak dibenarkan melakukan aktiviti luar dalam tempoh dua minggu ini.
Justeru, walaupun berada di rumah, beliau tetap mengikuti segala program yang telah diatur oleh barisan kejurulatihan bagi memastikan momentum tidak terjejas teruk dan yang paling penting adalah untuk kekal sihat sebelum saingan Liga Malaysia bersambung kembali.
Sudah pasti, situasi yang berlaku ketika ini dianggap cukup berbeza sepanjang dalam kariernya apatah lagi dia dan rakan sepasukan sudah terbiasa menjalani latihan pada setiap hari.
“Kita semua sedang melawan wabak COVID-19 ini dan sudah semestinya ia merupakan perkara sangat serius yang sedang berlaku di seluruh dunia.
“Apa yang penting, kita perlu ikut setiap arahan yang telah dikeluarkan dan saya sendiri akan kekal berada di rumah kerana bagi saya kesihatan adalah yang paling penting bukan sahaja untuk keluarga sendiri tetapi kepada orang sekeliling juga.
“Sememangnya bukan mudah sebenarnya buat saya sebagai pemain untuk berada di rumah sahaja kerana sudah biasa berlatih setiap hari di padang tetapi kami ada program yang telah disusun dan kami tetap akan mengikuti segala program itu di rumah untuk kekal cergas,” katanya.
Baca juga artikel lain berkaitan bola sepak Malaysia yang telah kami sediakan untuk anda sebagai bahan rujukan.
Penyokong Terengganu ‘Panas Kepala’ Dengan Tindakan Pengurusan Pasukan, Apa Logik Mohon Penangguhan?
B.Satianathan Akui Kekalahan Kepada Kedah Merupakan Kesalahan Sendiri