Barisan pemain dan pegawai Kelab Bolasepak Perak (Perak FC) akhirnya dapat menarik nafas lega apabila tunggakan gaji yang dihadapi sejak bulan November akan diselesaikan pada Selasa depan.

Perkembangan terkini berhubung pembayaran gaji itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Yang Berhormat (YB) Khairul Shahril Mohamed menurut laporan yang dikeluarkan Suara Perak, sebentar tadi.

Seperti dilaporkan sebelum ini, barisan pemain dan pegawai pasukan yang dikenali dengan panggilan ‘The Bos Gaurus’ itu masih belum menerima baki separuh gaji bulan November dan keseluruhan untuk Disember dimana nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM3.8 juta. Ia tidak termasuk tunggakan bagi bulan Januari.

Permasalahan yang dihadapi itu juga menyaksikan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Haji Azumu dan timbalannya, Datuk Adly Shah Ahmad Tah mengumumkan peletakkan jawatan berikutan kesukaran untuk mendapatkan tajaan dan bantuan daripada kerajaan.

Namun, selepas perbincangan Naib Presiden 1 PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohamad yang memangku tugasan presiden bersama kerajaan negeri Perak, permasalahan itu seperti berada di landasan tepat untuk diselesaikan.

“Kerajaan negeri telah mendapat sumbangan daripada syarikat-syarikat GLC yang turut sama mahu membantu dalam menyelesaikan isu ini.”

“Tunggakan gaji para pemain dan pegawai Perak FC akan diselesaikan selewat-lewatnya hari Selasa depan,” ujar Khairul Shahril.

“Ini merupakan komitmen kerajaan negeri untuk menjaga kebajikan para pemain dan pegawai Perak FC.”

”Saya menyeru para peminat agar terus memberikan sokongan kepada pasukan bola sepak Perak kita,” tambah Khairul lagi.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Logo Baharu Perak FC Terima Kecaman Hebat Daripada Peminat

Shakir Hamzah Perkuat Barisan Pertahanan Perak Musim Depan

Guilherme de Paula Kekal Bersama Perak Musim Hadapan

Sumber