Selepas lebih 15 tahun bergelar pemain bola sepak profesional, bekas tonggak pertahanan skuad kebangsaan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam memberikan bayangan bahawa beliau akan beralih angin.

Hal ini kerana Shahrom yang akan menjengah usia 36 tahun pada 15 September nanti dilihat memuatnaik foto di mana beliau sedang menjalani sesi latihan bersama Kelab Futsal Selangor Tot United.

Selangor Tot United merupakan salah sebuah pasukan yang disahkan akan bersaing dalam kancah Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2021 bermula Jun nanti.

Foto yang dimuatnaik akaun rasmi Selangor Tot United itu telah dikongsikan oleh Shahrom dengan memasukkan kapsyen berbunyi ‘Learning something new’.

Shahrom Kalam
Bayangan diberikan Shahrom Kalam.

Keadaan itu sudah pastinya memberikan isyarat jelas beliau berkemungkinan akan mencurahkan pengalaman luasnya ke sukan futsal pula.

Perkembangan terbaharu melibatkan bekas pemain berpengalaman luas itu jelas mengejutkan ketika namanya pada ketika ini cukup popular berikutan ulasan mantapnya dalam menggalas tugasan baharu sebagai pundit Liga Super 2021.

Pasukan terakhir yang diwakili Shahrom Kalam ialah Negeri Sembilan ketika menghadapi kempen Liga Premier Malaysia 2020.

Saingan MPFL bakal memasuki musim ketiga yang menyaksikan Selangor MAC muncul juara sulung setelah berjaya mengenepikan cabaran hebat diberikan skuad himpunan bintang, Pahang Rangers.

Kempen musim lalu pula terpaksa dibatalkan selepas setiap pasukan hanya beraksi satu perlawanan berikutan penularan wabak yang sehingga ke hari ini masih lagi belum lenyap dari muka bumi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan futsal tempatan melalui pautan dibawah. 

Kembali Daripada Menyepi, Futsal Sabah Bakal Dapat Sentuhan Pemain Brazil

Impak PKP, Akademi Futsal Di Manjung Ini Ambil Inisiatif Jual Ayam Goreng

Liga Premier Futsal Malaysia Dapat Tajaan 4 Syarikat