Nama Selangor Tot United nyata bukanlah asing dalam kalangan peminat futsal tanah air berikutan pencapaian kelab tersebut sehingga menyaksikan mereka berjaya mewakili negara dalam kejohanan besar yang pernah diadakan di Brazil, Rusia, England, Emiriah Arab Bersatu dan Thailand.
Dengan reputasi besar dalam kancah ‘liga haram’ [merujuk kepada kejohanan yang tidak dikelolakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia], pihak pengurusan tertinggi Tot United melihat peluang terbaik buat kelab itu untuk mara lebih jauh dengan menyertai Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim ini.
Dibarisi beberapa bekas pemain skuad futsal kebangsaan seperti Amar Ashraf Abu Bakar, Azrin Adnan, Aidil Shahril Rosli, Muhammad Addli Che Hussin dan Muhammad Hazreen Mohd Ali, Tot United dilihat memiliki ramuan hebat untuk menjelmakan kejutan pada penampilan pertama mereka dalam saingan liga futsal paling berprestij itu.
Sehubungan dengan itu, berbekalkan kombinasi pemain berpengalaman dan bakat-bakat muda yang mampu menjadi pelapis berkualiti futsal negara, cabaran kelab diasaskan oleh Mohd Nizam Samsudin ini tidak wajar dipandang enteng pasukan lain.
Antara pemain berbakat besar yang menjadi taruhan ialah Mulhim Muqri Faisal, Muhammad Amirul Sugito, Azlan NastiĀ Azwar, Muhammad Nurasyraaf Mohamad Azle serta Muhammad Zaim Azim Muhammad Fajruddin dan beberapa pemain lagi.
Mohd Nizam ketika dihubungi wakil Vocket FC turut melihat penyertaan Tot United sebagai satu cabaran baharu buat kelab tersebut.
“Memang cabaran baharu buat kami dan saya melihat ia sebagai satu anjakan paradigma buat pasukan yang mana sebelum ini kami banyak mencipta nama di pentas ‘liga haram.”
“Sudah tiba masanya untuk kami melangkah ke saingan lebih tinggi sekali gus dapat memberikan peluang kepada pemain-pemain yang diketuai oleh kapten, Hazizi Mansor untuk membuktikan kemampuan mereka dalam membawa nama Tot United,” ujar Mohd Nizam.
“Kami menganggap bahawa Tot United ini masih mendaki untuk seiring dengan pasukan-pasukan yang sudah terbukti kemampuan dalam kempen MPFL. Bagaimanapun, ia tidak melunturkan semangat kami untuk memburu kedudukan empat teratas.”
“Diharapkan kesemua pasukan yang bertanding dapat mempamerkan aksi terbaik dan dalam masa sama meningkatkan kualiti futsal tanah air,” tambah Mohd Nizam lagi.
Selangor Tot United yang akan beraksi dalam kumpulan A saingan MPFL 2021 itu dibimbing pengendali muda, Mohammad Taufik Yaiyah dan beliau dibantu Izuwan Hayat dan Shazwan Razak.