Bermula 3.00 petang hingga lewat malam esok, peminat futsal tempatan akan disajikan dengan aksi menarik peringkat suku akhir kedua Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023.

Berdasarkan kepada keputusan pada aksi pertama tempoh hari, kelihatan dua pasukan pilihan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang Rangers memiliki kelebihan selesa untuk mara ke separuh akhir.

Hal ini kerana JDT yang dibimbing Juan Antonio Miguel Garcia itu sudah pun mempunyai bekalan yang cukup besar selepas menundukkan Sabah 12-0 pada aksi pertama di Kota Kinabalu.

Meskipun apa sahaja boleh berlaku dalam sukan ini, tetapi bersandarkan kepada sebahagian besar pemain skuad kebangsaan dimiliki, JDT dijangka tidak akan berdepan masalah apatah lagi beraksi di laman sendiri.

Pahang Rangers yang menggungguli kumpulan A tanpa sebarang kekalahan juga membawa bekalan selesa menjelang pertemuan kedua bertemu Shah Alam City.

Kelincahan serta penyudah berkualiti pemain import dari Iran, Amin Nasrollah Zadeh pastinya sekali lagi diharapkan oleh pengendali pasukan, Gerard Casas Ullastre itu dimana mereka memegang kelebihan 6-1.

Juara bertahan, Selangor MAC pula berkelebihan 4-1 dan akan bertemu Terengganu di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam.

Kemampuan anak buah Edgar Eder Baldsso itu juga tidak boleh dipandang sepi kerana mereka pastinya menginginkan kejuaraan hatrik.

Malah kekuatan mereka kian bertambah apabila pemain import, Matheus Vasconcelos Silva dan penjaga gol utama, Syawal Sabaruddin sudah kembali daripada penggantungan satu perlawanan ekoran kad merah diterima pada aksi terakhir liga.

Satu lagi aksi untuk melengkapkan empat pasukan ke separuh akhir MPFL 2023 ialah pertembungan Selangor TOT United dan Pulau Pinang.

Perlawanan pertama di Balik Pulau tempoh hari menyaksikan pasukan pelawat mencatatkan kemenangan 2-1.

Jadi, cukup sukar untuk memperkatakan tentang peluang kedua-dua pasukan dengan keputusan tipis tersebut tetapi Selangor TOT United yang dibimbing Patt Sriwijit mempunyai sedikit kelebihan dua gol di tempat lawan.