Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan kebangkitan dengan penuh bergaya untuk menundukkan Selangor TOT United 7-5 pada aksi separuh akhir pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara, Shah Alam sebentar tadi.
Corak permainan penuh dramatik dijelmakan oleh kedua-dua pasukan sehingga menyaksikan lima gol terhasil pada babak pertama.
Selangor TOT United yang mendapat sokongan padu ribuan penyokong membuka tirai jaringan pada minit keempat setelah percubaan jarak jauh Helio Neto membias terkena ketua pasukan, Yazid Kamaruzuan lalu bola masuk ke dalam gawang JDT.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Anak buah Juan Antonio Miguel Garcia itu memperkemaskan aksi untuk kembali menyamakan kedudukan.
Bagaimanapun dalam keghairahan untuk mendapatkan jaringan, Selangor TOT mengambil kesempatan di atas kesilapan dilakukan JDT
Berpunca daripada kawalan bola kurang baik pemain JDT di kawasan lawan, Selangor TOT United melakukan serangan balas pantas yang disempurnakan Helio Neto bagi menjadikan kedudukan 2-0 berselang dua minit kemudian.
Kesilapan sendiri terus menjadi masalah buat JDT pada minit ke-12 apabila tindakan penjaga gol, Azrul Hadee Mohf Taufik keluar dari posisinya dan hantaran kurang baiknya memberikan ruang buat Azlan Nasti Azwar untuk mengukuhkan kedudukan.
Ketika permainan babak pertama semakin menghampiri penghujung, fokus anak buah Patt Sriwijit sedikit terganggu dan kesempatan itu diambil JDT bagi merapatkan jurang gol.
Ia dibuktikan dengan dua jaringan masing-masing satu daripada Abu Haniffa Hassan dan Caio Cesar pada minit ke-20.
Kedudukan kembali terikat sebaik sahaja bermula separuh masa kedua selepas Abu Haniffa menyempurnakan peluang susulan hantaran sepakan penjuru.
Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi skuad JDT yang menambah jaringan keempat menerusi sepakan percuma Azri Rahman pada minit ke-24.
Gol kelima pasukan pelawat pula hadir berselang lima minit kemudian selepas Awalluddin Mat Nawi menyudahkan peluang ketika situasi kelam-kabut depan pintu gol.
Saad Sani kemudiannya melebarkan kedudukan buat JDT pada minit ke-32 apabila beliau bijak meluru ke arah bola hasil sepakan penjuru untuk menewaskan penjaga gol, Aliff Haiqal.
Ketinggalan tiga gol, Selangor TOT United menggunakan taktikal ‘Power Play’ dimana perjudian itu membuahkan hasil dengan dua jaringan oleh Yazid pada minit ke-33 dan 35 yang sekali gus melengkapkan hatrik buatnya.
Namun, hasrat Selangor TOT United untuk mendapatkan jaringan penyamaan tidak kesampaian malah pasukan lawan menambah gol ketujuh menerusi Danial Dain untuk menutup ‘festival jaringan’ tersebut.