Skuad Harimau Malaya sedang menduduki tangga kedua dalam carta kumpulan G kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia dan pengendalinya, Tan Cheng Hoe berpendapat faktor ini kerana Johor Darul Ta’zim yang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

JDT berjaya melayakkan diri ke saingan ACL peringkat kumpulan musim ini setelah muncul juara Liga Super musim 2018. Meskipun gagal untuk mara ke pusingan seterusnya, skuad kendalian Benjamin Mora itu berjaya menewaskan kelan gergasi Jepun, Kashima Antlers.

Beraksi
Sumber Gambar: JST

Dengan JDT menyediakan beberapa pemain penting dalam pasukan negara ketika ini, Cheng Hoe menegaskan beraksi di peringkat tertinggi bakal memberi pulangan khususnya terhadap skuad kebangsaan.

“Penting untuk para pemain mendapat pendedahan dengan bermain di peringkat tertinggi. Beraksi menentang pemain dan pasukan terbaik akan meningkatkan lagi kualiti serta menambah pengalaman sekaligus memantapkan lagi tahap keyakinan mereka.

Beraksi
Sumber Gambar: PFAM

“Selain itu, apabila pemain beraksi di peringkat tertinggi, perkara ini dapat membantu perkembangan pasukan kebangsaan. Mereka lebih bersedia daripada segi mental dan fizikal apabila mendapat panggilan dan sentiasa sedia untuk menampilkan persembahan terbaik. Saya berharap lebih banyak kelab Liga Malaysia dapat beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia,” kata Cheng Hoe ketika ditemu bual AFC.

Tambah Cheng Hoe, beliau berharap lebih banyak pasukan Liga Malaysia untuk beraksi di pentas ACL bagi membantu meningkatkan mutu liga domestik dari segi intensiti, tahap kompetitif serta menambah baik nilai pemasaran bagi menarik minat penaja.

Baca artikel lain mengenai pasukan kebangsaan di sini:

Brendan Gan: Kita Bukan Pasukan Yang Kerdil Lagi, Positif Dengan Kualiti Yang Dimiliki Dalam Pasukan Malaysia

Malaysia Kutip 31.12 Mata FIFA Ranking, Dijangka Akan Melonjak 4 Tangga Dalam Ranking Dunia

Safawi Rasid: Saya Tidak Puas Dengan Aksi Diberikan, Perlu Pertingkatkan Lagi Prestasi Untuk Malaysia