Pemain tengah skuad Harimau Malaya, Nor Azam Azih menyifatkan kehadiran rakan sepasukannya dalam skuad tok gajah, Saddil Ramdani yang dipanggil menyertai pasukan Indonesia memberi kelebihan kepada lawan kerana beliau tahu serba sedikit mengenai kekuatan serta kelemahan pemain Malaysia.
Justeru itu, Azam menuntut rakan sepasukannya supaya mengawasi kelibatnya kerana mampu menghadirkan ancaman berbahaya kepada benteng pertahanan skuad negara.
“Mungkin ada kelebihan kepada mereka kerana Saddil bermain bersama saya dan beberapa pemain lain seterusnya perlu mengawasinya dengan lebih ketat.
“Bagaimanapun kami tetap fokus pada perlawanan dan akan cuba lakukan yang terbaik pada untuk membawa pulang mata. Kami memang menyangka perlawanan yang sengit kerana setiap kali bertemu Malaysia, semangat mereka lain macam,” katanya seperti dipetik dalam Bernama
Mengulas mengenai perlawanan tersebut yang dijangka berlangsung dalam suasana penuh provokasi, Azam mengakui belum mempunyai pengalaman menaiki kereta perisai ‘barracuda’ dan sudah siap sedia dari segi mental untuk ke tempat perlawanan.
“Setakat ini, saya belum pernah melalui situasi berkenaan terutama menaiki barracuda walaupun sebelum ini ada juga provokasi, namun tidaklah seteruk itu,” katanya.
Selepas aksi menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, mereka akan melayani kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 10 September di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Selain dua pasukan itu, skuad negara akan turut berdepan Thailand dan Vietnam dalam kumpulan dengan Malaysia menyasarkan untuk cuba melepasi saingan peringkat kumpulan.
2 hari lagi menjelang perlawanan ‘El-klasiko Asia Tenggara’ di antara Malaysia menentang Indonesia. Klik pautan dibawah untuk mengetahui perkembangan terkini.
Lebih 300 Penyokong Malaysia Dijangka Kunjungi Stadium Gelora Bung Karno
Sumareh Tak Sabar Turun Beraksi Di Stadium Gelora Bung Karno
Indonesia Hilang Khidmat Dua Pemain Naturalisasi Sebelum Hadapi Malaysia