Bek kiri sandaran utama Liverpool, Andy Robertson terpaksa melupakan aksi awal saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021/22 yang akan bermula hujung minggu ini selepas keputusan imbasan mengesahkan beliau mengalami kecederaan di bahagian ligamen buku lali kanannya.

Kecederaan itu dialami ketika beliau cuba untuk menghalang hantaran lintang daripada pemain Athletic Bilbao pada perlawanan persahabatan yang menyaksikan Robertson kemudiannya terpaksa dibawa keluar dan digantikan dengan pemain muda, Owen Beck.

Bagaimanapun penyokong Liverpool ada sebab untuk menarik nafas lega kerana kecederaan itu dilaporkan tidak begitu serius dan pemain skuad kebangsaan Scotland itu hanya memerlukan rehat beberapa minggu sahaja.

Perkembangan terbaharu berhubung kecederaan yang dialaminya itu diumumkan sendiri oleh Robertson menerusi laman Twitter miliknya.

“Terima kasih kepada semua untuk kiriman mesej dan sokongan yang diberikan kepada saya.”

“Imbasan menunjukkan tiada kecederaan yang terlalu serius tetapi terdapat beberapa kerosakan pada ligamen yang perlu diperbaiki.”

“Saya akan bekerja keras pada setiap hari jadi saya boleh kembali membantu pasukan secepat yang mungkin,” tambah Andy Robertson lagi.

Sehubungan dengan kehilangan buat seketika pemain harapannya itu, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp masih tenang dengan masalah tersebut.

Meskipun tidak mengetahui bilakah Robertson akan kembali memperkuatkan pasukannya, beliau menganggap pemain kelahiran Greece, Kostas Tsimikas mampu untuk menggalas tanggungjawab dengan baik bagi menggantikan Robertson.

Teruskan membaca artikel-artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

Jawapan Safee Sali Berkenaan Isu Merokok Pemain Tempatan Dalam ‘IG Story’ Dikecam Hebat Netizen

Tanpa Berselindung, Bayern Akui Berminat Dengan Haaland

Grealish: “Saya Pun Menangis Seperti Messi”