Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal membuat penampilan sulung dalam pusingan kalah mati AFC Champions League (ACL) menentang bekas juara dari Jepun, Urawa Red Diamonds di Stadium Saitama pada malam esok.
Ini merupakan kali pertama kelab Malaysia bersaing di peringkat 16 terbaik. Setelah menjadi satu-satunya wakil dari Asia Timur yang memenangi Piala AFC pada tahun 2015, JDT terus gah mencatat kejayaan gemilang dalam saingan ACL apabila muncul sebagai juara kumpulan I yang terdiri daripada Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai dan Guangzhou FC.
Pengendali baharu JDT, Hector Bidoglio mengakui kagum dengan mentaliti yang ditunjukkan oleh pemainnya sejak menyertai pasukan tersebut pada minggu lalu. Beliau yakin dengan kualiti yang ada, JDT mampu mengejutkan Urawa Red Diamonds sekaligus cipta satu lagi sejarah.
“Ini akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi kami berazam pamerkan prestasi terbaik. Kami menekankan kepada pemain mengenai kepentingan perlawanan ini dan kami perlu terus memberikan fokus sepenuhnya.
“Pemain JDT mempunyai mentaliti yang hebat. Mereka tahu keupayaan masing-masing dan kami mampu mengejutkan Urawa. Urawa pasukan yang bagus dan suka bermain hantaran pendek serta ‘high pressing’.
“Perkara utama adalah untuk mendapatkan bola. Jika kami melakukannya, ia akan lebih mudah buat kami,” katanya.
ジョホール・ダルル・タクジム 試合前日公式会見
会見の全文はこちら📝https://t.co/rsTc5ROIT6#ACL2022 #REDS030th #urawareds #浦和レッズ pic.twitter.com/hObjdL7ZeZ
— 浦和レッズオフィシャル (@REDSOFFICIAL) August 18, 2022
Hector juga mendedahkan pasukan itu akan bertemu Urawa Red Diamonds tanpa kelibat pemain import tengah, Leandro Velazquez. Hanya pemain yang benar-benar cergas sahaja akan berada dalam kesebelasan utama.
“Leandro Velazquez digantung untuk perlawanan ini dan kami perlu melakukan beberapa perubahan di bahagian tengah. Natxo Insa telah kembali berlatih tetapi sudah tidak bermain hampir sebulan manakala Jordi Amat pula sedang meningkatkan kecergasan dirinya,” jelasnya.
Sementara itu, penjaga gol JDT, Farizal Marlias berharap dapat mencipta satu lagi sejarah selepas menampilkan prestasi yang konsisten dalam saingan domestik serta berjaya menjadi juara di peringkat kumpulan ACL.
“Kami bekerja keras melepasi peringkat kumpulan dan ia bukan sesuatu yang mudah. Saya percaya kami mampu menjelmakan sesuatu esok,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
ACL 2022: Jurulatih Urawa Red Diamonds Terkejut Dengan Peningkatan Mendadak JDT
KL City Berpeluang Ke Final Antara Zon Jika Dinobatkan Juara Zon ASEAN Piala AFC
Benjamin Mora Calon Jurulatih Baharu Persib Bandung Dan Lion City Sailors?