Banyak persoalan menyelubungi penglibatan pemain muda berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal bersama skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh BERNAMA, Stuart berkata FAM kini sedang berusaha untuk membawa pulang Wan Kuzri untuk melihat potensi pemain berusia 18 tahun itu bersama skuad bimbingan Brad Maloney yang akan menghadapi Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.
Stuart berkata antara permasalahan adalah sama ada Wan Kuzri dibenar meninggalkan Amerika Syarikat (AS) atau dilarang memasuki Malaysia selain persoalan mengenai keperluan untuk pemain di posisi tengah itu menjalani kuarantin wajib sebelum dibenarkan menyertai kem latihan skuad B-18 negara.
“Memang beliau berkeinginan untuk turut serta dan menyumbang kepada negara. Kami sedar dia juga tersekat. Walaupun mungkin ada kem latihan buat skuad B-18 negara dalam masa terdekat jika situasi membenarkan, persoalannya sama ada beliau boleh turut serta kerana beliau kini di Amerika Syarikat (AS).
Persoalan adakah beliau boleh meninggalkan AS, dan jika tiba di Malaysia, adakah beliau akan dikuarantin? Adakah saat itu Malaysia benarkan kemasukan warga asing? Banyak persoalan dengan status penyertaannya bersama skuad negara, namun itu yang sedang kami usahakan,” katanya kepada Bernama.
Kehadiran Wan Kuzri dianggap mampu memberi kelebihan kepada misi skuad B-18 negara yang menyasarkan beraksi pada Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia.
Bagaimanapun Stuart mengakui Wan Kuzri yang merupakan adik kepada bintang muda Wan Kuzain yang beraksi bersama kelab Liga Bola Sepak Utama (Major League Soccer) Sporting Kansas City, perlu membuktikan kemampuannya terlebih dahulu untuk dinilai barisan kejurulatihan skuad negara.
“Kami perlu memanggil dia dan berikannya peluang serta menilai Wan Kuzri daripada perspektif tempatan dan bukan (memilihnya) berdasarkan siapa abangnya, dan kita tak pernah tengok dia main, hanya melihat menerusi klip video tetapi dalam video semua orang boleh kelihatan seperti Cristiano Ronaldo.
Jadi saya fikir perkara yang betul untuk dilakukan ialah bagi kami mendapatkan dia, berdasarkan prestasi di dalam kem kemudian membuat penilaian dan keputusan selepas itu,” katanya.
Sebelum ini, Pengurus Pasukan Skuad B-18 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar dipetik sebagai berkata Wan Kuzri menyatakan minat untuk menyarung jersi skuad negara selain beliau dijadual menyertai satu sesi pemantapan skuad B-18 negara di Jepun pada Mac lepas.
Kejuaraan B-19 AFC 2020 menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2021 dan skuad B-18 negara menyasarkan muncul pasukan Malaysia pertama layak secara merit beraksi di pentas Piala Dunia.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami sediakan untuk anda.
“Shukor Adan, Kalau Dia Bagi Arahan Semua Pemain Mudah Dengar Apa Dia Kata” – Norhafiz Zamani
Media Thailand Ini Labelkan Skuad Kebangsaan Malaysia Sebagai ‘Johor National Team’