Seramai 34 pemain telah melapor diri di kem latihan pusat skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19) di Wisma FAM, Kelana Jaya sebagai persiapan menghadapi Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang akan berlangsung di Uzbekistan pada 14 hingga 31 Oktober 2020.

Bagi pusingan akhir ini nanti, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D bersama juara edisi 2014 iaitu Qatar, Tajikistan dan Yemen pada majlis undian yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil pada 18 Jun 2020.

Dalam senarai 35 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat kali ini, 14 pemain adalah dari skuad 23 pemain ketika saingan kelayakan di Phnom Penh, tahun lalu manakala baki 21 pemain merupakan pemain yang pernah dipanggil pada kem latihan pusat pemilihan tahun lalu dan juga muka-muka baharu untuk dinilai oleh Maloney dan barisan kejurulatihannya.

Bagaimanapun menurut kenyataan di laman facebook FAM, seorang lagi pemain iaitu Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal hanya akan menyusul kemudian untuk menyertai pasukan sejurus berakhir tempoh kuarantin selepas tiba di tanah air dari Amerika Syarikat.

106458849_3013203188776425_2505316807739927194_o
FOTO: FAM

Sebaik melapor diri pada tengah hari tadi, seramai 17 pemain terus melakukan Ujian Calitan atau ‘Swab Test’ manakala baki pemain lain sudah pun melakukan ujian tersebut bersama kelab masing-masing sebelum ini.

Beberapa tonggak utama dalam saingan kelayakan tahun lalu seperti penjaga gol, Firdaus Irman Mohd Fadhil dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Azrin Afiq Rusmini, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi, Luqman Hakim Shamsudin dan Ahmad Zikri Mohd Khalili, dijangka menyertai pasukan pada kem latihan pusat berikutnya.

Mengikut jadual perlawanan yang telah dikeluarkan oleh AFC, Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan D bertemu Tajikistan pada Jumaat, 16 Oktober 2020 diikuti aksi kedua menentang Qatar pada Isnin, 19 Oktober 2020 dan seterusnya aksi terakhir kumpulan berdepan Yemen pada Khamis, 22 Oktober 2020. Ketiga-tiga perlawanan dijadual berlangsung di Stadium AGMK, Olmalik.

jadual afc u19-01-01

Pada edisi terdahulu iaitu Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Indonesia, Malaysia yang ketika itu dibimbing Bojan Hodak turut diundi dalam Kumpulan D, namun gagal melangkah ke suku akhir selepas tewas 2-1 kepada Arab Saudi, seri 2-2 dengan Tajikistan dan kalah 2-0 kepada China untuk menduduki tangga terakhir kumpulan.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia sejak Kejuaraan B-19 AFC ini dimulakan pada tahun 1959 (dengan nama Kejuaraan Remaja AFC) adalah dengan muncul naib juara sebanyak tiga kali pada 1959, 1960 dan 1968 serta meraih tempat ketiga sebanyak dua kali pada 1964 dan 1965.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Malaysia B-19 melalui pautan dibawah.

Skuad Malaysia B-19 Dapat Tawaran Sertai Kejohanan Jemputan Di Turki Dan Perancis

Gandingan Luqman Hakim Dan Jaami Qureshi Barisi Jentera Serangan Skuad B-19 Tahun Negara

Brighton & Hove Albion FC Beri Pelepasan Untuk Jaami Qureshi Sertai Skuad AFC U19 Jika Dipilih Oleh FAM