Pemain tengah Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya mahu melupakan kekalahan pada aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang lalu sambil menyifatkan perlawanan pertama Liga Super berdepan Selangor FC pada Jumaat ini paling penting untuk meraih mata.
Bagi Zhafri, Perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu lalu dianggap sebagai aksi pemanas badan untuk mereka menilai kembali kelemahan dan kekurangan pasukan agar bangkit semula bagi memastikan tiga mata diraih menentang Selangor.
Apatah lagi, Selangor dilihat melakukan persiapan yang lebih rapi pada musim ini sekali gus menyaksikan perlawanan yang sukar akan dihadapi oleh anak buah Bojan Hodak ini.
Namun, Zhafri menyifatkan barisan pemain ketika ini semakin mula mendapatkan rentak yang lebih baik selepas mereka menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari dan mengharapkan pasukan tidak kehilangan mata untuk sepak mula Liga Super yang pertama, Jumaat ini.
“Bagi saya perlawanan menentang JDT hari itu sebahagian daripada aksi pemanas badan juga dan persiapan kita pun bukanlah yang terbaik sebelum ini disebabkan kekurangan pemain-pemain dalam tempoh pra musim.
“Jadi banyak perkara yang perlu dilakukan untuk pasukan ubah formasi baharu sebab kita pun ada pemain baharu juga yang perlu mendapatkan kombinasi antara satu sama lain.
“Untuk itu, bagi saya keutamaan Kuala Lumpur adalah untuk fokus aksi pertama lawan Selangor nanti dan kita perlu melupakan kekalahan kepada JDT tempoh hari.
“Mahu atau tidak, kita perlu mendapatkan mata memandangkan Selangor pun nampak lebih bersedia musim ini dan saya percaya pasukan akan beraksi lebih yakin kali ini”, katanya.
Dalam masa sama, pemain berusia 28 tahun ini juga amat menitikberatkan tahap kecergasan dan mahu elak sepenuhnya daripada sebarang kecederaan pada musim ini.
Ini kerana selepas menyaksikan beberapa rakan sepasukannya berdepan kecederaan yang tidak diduga pada saat pasukan memerlukan kudrat mereka, Zhafri mengharapkan tiada lagi insiden sama berulang pada musim ini.
“Kali terakhir saya cedera pada tahun 2016 dan 2019 dan waktu itu saya berdepan kecederaan MCL, jadi Alhamdulillah sehingga sekarang tiada lagi yang teruk berlaku.
“Sebab musim lepas pun kita ada beberapa pemain juga yang cedera dan tidak boleh beraksi, jadi harap tahun ini kami semua akan bebas kecederaan yang serius.
“Apa pun, saya mahu ingin lebih fokus dan kekalkan momentum yang ada ketika ini untuk Kuala Lumpur beraksi dengan lebih baik sepanjang musim ini”, tambah Zhafri Yahya lagi
Kuala Lumpur akan menerima kunjungan Selangor FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat ini manakala tiga lagi perlawanan yang berlangsung pada hari sama adalah Sarawak United FC menentang Kedah Darul Aman FC, JDT melawan Penang FC dan Sabah FC berdepan Negeri Sembilan FC.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia:
Indonesia Rancak Tambah Pemain Naturalisasi, Emil Audero Dan Jordy Wehrmann Jadi Calon Keempat