Pemain-pemain Liga Malaysia menganggap keputusan Malaysian Football League (MFL) membatalkan penganjuran Piala FA pada musim ini adalah relevan susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini.
Penyerang Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abd Radzak memahami jadual padat yang akan ditempuhi oleh semua pasukan sekiranya Piala FA tetap diteruskan ketika tempoh saingan Liga Musim ini semakin singkat.
Jelasnya, sebagai pemain, mereka memerlukan tempoh masa yang mencukupi untuk berehat selepas sesuatu perlawanan dan jadual yang cukup padat akan mengundang kepada risiko kecederaan sekali gus memberi kesan buruk kepada pasukan.
“Secara peribadi, saya rasa sebenarnya ramai yang tidak tahu mengenai bagaimana jadual liga itu dibuat, tetapi kami sebagai pemain tahu faktor-faktor tertentu kenapa jadual dibuat sebegitu.
“Sebelum COVID-19 melanda, memang kita boleh harungi semua perlawanan baik Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup di mana kita boleh ada ruang dan masa untuk memastikan semua itu berjalan seperti yang dirancang.
“Tetapi dalam situasi pandemik sekarang, kita tahu agak mustahil nak menempuh semua saingan dalam satu masa singkat sebab boleh merisikokan pemain kepada kecederaan apabila jadual terlalu padat.
“Jadi saya rasa, MFL membuat keputusan yang wajar dalam keadaan COVID-19 yang melanda negara sekarang dan sekurang-kurangnya kita masih lagi boleh beraksi dalam saingan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup pada musim ini”, jelasnya.
Sementara itu, pemain tengah Sri Pahang FC, Lee Tuck turut berharap agar permohonan yang akan dikemukakan MFL kepada pihak kerajaan untuk memastikan pasukan dapat melakukan latihan penuh sebelum sepak mula pada 5 Mac ini diluluskan memandangkan mereka ketika ini hanya melakukan latihan penuh di rumah sahaja.
Semestinya, ramai pemain yang masih dalam fasa membentuk keserasian bersama pasukan terutamanya mereka yang berhijrah ke skuad baharu pada musim ini termasuklah dirinya, dan untuk itu latihan penuh di padang begitu penting untuk memastikan persediaan rapi dapat dilakukan.
“Sekiranya keadaan terkawal dan selamat, saya harap kita semua dapat kembali untuk berlatih di padang sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sepak mula sepertimana yang akan dimohon oleh MFL.
“Penangguhan Liga Malaysia daripada 26 Februari ke 5 Mac juga bukanlah jurang masa yang lama sangat, dan saya rasa kita semua memang tengah bersemangat untuk mempersiapkan diri.
“Apa-apa pun, kita sudah menempuh situasi sama seperti tahun lalu yang memerlukan kita berlatih di rumah, jadi apa pun keputusan, kita kena sentiasa bersedia dan tetap menjaga tahap kecergasan dengan baik,” katanya.
Terdahulu, MFL telah bersedia untuk menyediakan beberapa mekanisme seperti SOP latihan yang lebih ketat dan SOP latihan kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan lebih efektif, selamat dan menghindari segala prospek pandemik COVID-19.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:
Rakan Sepasukan Pierre-Emerick Aubameyang Bakal Sertai Pasukan Liga Malaysia
Nuno Espirito Santo Puji Kualiti Dimiliki Oleh Nathaniel Shio Hong Wan