Ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah mengharapkan kemenangan pertama yang diraih ke atas Kelantan United kelmarin dapat menyuntik motivasi tinggi untuk pasukan terus berjuang dalam baki dua lagi aksi Liga Premier Malaysia 2021.
Kemenangan tipis 1-0 di Stadium Sultan Muhammad IV itu jelas cukup bermakna selepas barisan pemain muda itu bergelut dalam 17 perlawanan terakhir untuk mereka berada di tangga tercorot dan Yusri tetap berbangga dengan kerja keras anak buahnya yang tidak berputus untuk cuba meraih mata buat pasukan.
Jelasnya, meskipun hanya berbaki dua perlawanan sahaja lagi, tetapi itu tidak menghalang barisan pemain untuk terus berjuang sehingga ke perlawanan terakhir.
Selain itu, pengendali kelahiran Kangar, Perlis itu turut mengharapkan mereka mampu untuk menghadiahkan mata dalam aksi akan datang menentang Perak FC II dan Kuching City FC.
“Syukur atas kemenangan pertama untuk musim ini dan kita datang ke sini dengan sasaran untuk tidak bolos banyak gol kerana semua tahu dalam perlawanan terdahulu, kita selalu tewas dengan jaringan besar.
“Perjalanan untuk pusingan kedua liga ini saya nampak banyak peningkatan, tidaklah terlalu bagus sangat tetapi saya boleh nampak pemain ambil peluang yang ada untuk jaringkan gol dan ianya hadir betul-betul dalam keadaan yang amat kami perlukan.
“Baki perlawanan ini, kami akan cuba mengekang kesilapan dan saya harap kemenangan ini dapat beri lebih motivasi untuk mereka berjuang kerana sebelum ini mereka tidak mampu untuk mengatakan yang mereka boleh menang, tetapi kali ini kita dapat menang”, tambah Yusri Che Lah lagi.
Teruskan membaca artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.
Nafuzi Zain: Kami Tidak Sepatutnya Kalah, Dihukum Kerana Silap Sendiri
Tomas Trucha Lega Perubahan Taktikal Membuahkan Hasil Buat Penang
Tidak Dapat Kelulusan MKN, Piala Presiden Dan Piala Belia Sah Dibatalkan