Bekas pemain tengah Arsenal, Jack Wilshere berpendapat bahawa Richarlison tidak akan mendapat tempat di kesebelasan utama The Gunners sekiranya beliau menyertai kelab tersebut.
Pemain kelahiran Brazil itu memilih untuk berhijrah ke Tottenham Hotspur sekali gus menolak tawaran yang diberikan oleh dua lagi kelab dari London, Arsenal dan Chelsea.
Richarlison menyertai Tottenham dengan yuran perpindahan bernilai £60 juta untuk menjadi keempat yang direkrut oleh Antonio Conte selepas Ivan Perisic, Fraser Forster dan Yves Bissouma.
Sehubungan dengan keputusannya menolak Arsenal, Wilshere melihat bekas pemain Everton itu akan berdepan kesukaran untuk menembusi kesebelasan utama sekiranya beliau memilih untuk menyarung jersi skuad kendalian Mikel Arteta tersebut.
“Saya merasakan dia akan menguatkan skuad [Tottenham Hotspur], sudah pasti, dia akan memberikan sesuatu yang berbeza,” ujar Wilshere menurut sumber laporan Goal.
“Saya tidak mengatakan saya kecewa [Richarlison tidak bersama Arsenal]. Dia berusia 25 tahun, bukan lagi seorang pemain muda.”
“Saya tidak kecewa sebagai penyokong Arsenal tetapi dia boleh menjadi pemain yang mencuri tumpuan, pemain yang akan menjadi sangat baik.”
“Ya [menyukai sekiranya beliau menyertai Arsenal], tetapi dia tidak akan dapat berada di kesebelasan utama pasukan.”
“Dia pasti akan mencabar untuk mendapatkan tempat dan menjadi sebahagian daripada skuad yang baik tetapi saya tidak rasa dia akan dapat memasuki kesebelasan utama,” tambah Jack Wilshere lagi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.