Hasrat untuk melihat Lee Zii Jia meraih kejuaraan kedua berturut-turut dalam tempoh dua minggu tidak kesampaian selepas beliau tewas pada aksi final Terbuka Denmark 2023 ketika bertemu Weng Hong Yang, sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut dialami Zii Jia apabila berhadapan dengan pemain kelahiran Fuzhou, China itu.

Peringkat awal perlawanan melibatkan kedua-dua pemain berlangsung sengit dengan kedudukan terikat 7-7.

Namun, corak permainan Hong Yang dipamerkan selepas itu jelas cukup agresif berbekalkan smash kencang menjadi senjata utamanya sehingga membuatkan Zii Jia berdepan kesukaran untuk memperagakan aksi terbaiknya.

Ia juga sekali gus menyaksikan Hong Yang tidak berdepan masalah besar untuk memenangi set pertama dengan kedudukan 21-12.

Kemenangan itu nyata meningkatkan lagi moral pemain ranking ke-22 dunia tersebut untuk tampil lebih kemas mengharungi set kedua.

Permulaan set kedua jelas memperlihatkan ketenangan Hong Yang dalam usaha menjarakkan jurang mata untuk mendahului 6-1.

Zii Jia kemudiannya cuba bangkit dengan merapatkan jurang 4-6 tetapi lawan tersebut lebih tangkas untuk mengutip lima mata berturut-turut bagi rehat ‘interval’.

Ketinggalan dengan cukup jauh jelas membuatkan Lee Zii Jia berada dalam keadaan tekanan yang menjurus kepada kesilapan demi kesilapan dilakukannya.

Dengan semangat juang yang semakin tinggi ditampilkan, Weng Hong Yang tidak menoleh ke belakang lagi untuk mengesahkan kejuaraan menjadi miliknya dengan kemenangan 21-6.

Ia merupakan kejuaraan keempat buat Hong Yang dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sepanjang kariernya.