Belum sempat tiba pada waktu sepak mula, Malaysian Football League (MFL) semalam mengumumkan dua perlawanan pertama Liga Premier 2022 terpaksa ditunda akibat jangkitan wabak COVID-19.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yang memberitahu dua perlawanan itu membabitkan pertemuan Selangor FC 2 dan Skuad Projek FAM-MSN di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu, 5 Mac 2022 dan PDRM FC bertemu Kuching City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras pada Isnin, 7 Mac 2022.

Jelas Stuart, pihak sekretariat MFL telah menerima permohonan daripada PDRM FC di mana seorang jurulatih dan 14 pemain mereka didapati positif dan kontak rapat bergelaja sementara dua jurulatih serta kesemua pemain Skuad Projek FAM-MSN juga ditimpa nasib yang sama.

“Dukacita dimaklumkan perlawanan membabitkan Selangor FC 2 bertemu Skuad Projek FAM-MSN dan PDRM FC menentang Kuching City FC terpaksa ditunda apabila lebih separuh pemain serta pegawai daripada pasukan yang dimaksudkan telah mengalami jangkitan positif serta kontak rapat bergelaja COVID-19,” kata Stuart dalam satu kenyataan rasmi.

Bagaimanapun, tiada kemenangan percuma akan diberikan kepada pasukan lawan kerana MFL telah membuat pindaan peraturan untuk memastikan keputusan yang adil kepada kedua-dua belah pihak.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa kita telah membuat pindaan Peraturan Perlawanan Tertunda COVID-19. Mungkin sebelum ini kebanyakan pihak masih melihat peraturan lama dalam kempen TM Piala Malaysia 2021 iaitu pasukan akan dikira kalah jika mana-mana pemain didapati positif COVID-19.

“Ketika itu, jadual TM Piala Malaysia 2021 berperang dengan masa dan tambahan lagi kewujudan dos penggalak tidak lagi berlaku tetapi dengan adanya dos penggalak serta lengkap vaksinasi, pindaan Peraturan Perlawanan Tertunda kini mengikut SOP yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

“Justeru, SOP terbaharu MFL adalah kelab hanya layak untuk memohon penangguhan perlawanan sekiranya 50 peratus atau lebih dari jumlah pendaftaran skuad utama bagi pegawai dan pemain yang layak didaftarkan pada hari perlawanan dijangkiti wabak COVID-19 atau kontak rapat bergejala. Untuk permohonan penangguhan ini, kelab perlu mengemukakan dokumen antaranya bukti keputusan ujian dan status MySejahtera serta surat pengesahan daripada doktor pasukan.

“Walaubagaimanapun, sekiranya penundaan perlawanan yang berlanjutan sehingga menjejaskan penjadualan perlawanan liga dan kalendar pertandingan MFL secara keseluruhannya, maka sebarang keputusan dan tindakan adalah tertakluk kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL,” ujarnya.

Sementara itu, Stuart memaklumkan bahawa pindaan tarikh baharu dua perlawanan berkenaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Hanya Penyokong Lengkap Suntikan Dos Penggalak Sahaja Dibenarkan Masuk Ke Stadium

Forestieri Tidak Dapat Menahan Sebak Selepas Menang Piala Pertama Bersama JDT

Pemain Perak Sudah Dua Bulan Tidak Terima Gaji