Kelab Belgium, KV Kortrijk mengumumkan usahawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan telah bersetuju melepaskan kelab itukepada ahli perniagaan dari Amerika Syarikat, Maciek Kaminski.
Baca Juga:
- Tan Sri Vincent Tan: Banyak Wang Saya Habis Di Cardiff City, Belum Masanya Jual Kelab Ini
- Tan Sri Vincent Tan Yakin Luqman Akan Jaringkan Gol Jika Diberi Banyak Peluang Bermain
- Vincent Tan Sudah Ada Perancangan Sendiri Untuk Luqman Hakim Dalam Skuad KV Kortrijk
Dengan pengumuman tersebut, Vincent Tan kini bukan lagi pemilik kelab tersebut dan perkembangan itu turut disahkan dalam satu kenyataan rasmi di laman web mereka semalam.
Vincent dilaporkan membeli kelab tersebut pada tahun 2015 dengan harga 5 juta euro (RM25.05 juta), dan menjualnya pada harga 17.5 juta euro (RM87.68 juta).
Beliau mengambil langkah tersebut untuk membantu KV Kortrijk melangkah ke tahap lebih tinggi dengan pengalaman yang dmiliki oleh Kaminski.
“Saya ucapkan selamat berjaya kepada Maciek Kaminski dan keluarganya. Kaminski adalah seorang pemilik yang bagus kepada kelab yang mana sudah memiliki pengalaman dalam bola sepak,” kata Vincent.
“Saya fikir dia akan membawa kelab ke tahap yang lebih tinggi. Saya mahu mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada penyokong, staf dan bandar ini atas sokongan sepanjang tempoh saya berada di sini,” katanya.
Kaminski sebelum ini turut dikaitkan dengan cubaan memiliki kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton pada tahun lalu, namun gagal direalisasikan.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apakah nasib pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang masih bersama KV Kortrijk sebelum dia menyertai kelab Iceland, Njardvik FC secara pinjaman tahun ini.
Difahamkan Luqman telah menandatangani kontrak selama 5 tahun bersama KV Kortrijk sejak menyertai kelab tersebut pada tahun 2020.
Vincent Tan sebelum ini menyatakan beliau sudah ada perancangan sendiri untuk menjadikan Luqman sebagai seorang pemain yang lebih relevan bersama kelab itu.
“Saya sendiri akan membantu Luqman Hakim. Saya mahu Luqman Hakim akan menjadi contoh bagus kepada pemain-pemain tempatan yang lain dan saya mahu memastikan jika boleh dia kekal lebih lama di Eropah.
“Misi Luqman Hakim menyertai KV Kortrijk bukan semata-mata belajar dalam sesi latihan sahaja tetapi dia harus pantas menyesuaikan diri di mana saya percaya Luqman Hakim mampu lakukan jika diberi segala ruang,” katanya dipetik dalam Sinar Harian.