Peminat bola sepak tempatan baru-baru ini dikejutkan dengan berita penyerang skuad B-18 tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin yang ditawarkan tempat beraksi bersama kelab divisyen 1 Liga Belgium, K.V. Kortrijk mulai tahun 2020.
Meskipun dikaitkan dengan beberapa kelab liga Super termasuk perpindahan ke kelab Jepun, Cerezo Osaka, namun K.V Kotrijk berjaya memenangi perlumbaan untuk mendapatkan khidmatnya untuk tempoh lima tahun yang akan datang.
Sumber daripada New Straits Times mendedahkan Luqman akan menerima gaji sebanyak RM15,000 sebulan tidak termasuk elaun tambahan. Makanan dan kemudahan penginapan turut disediakan oleh pihak kelab.
Malah, beliau juga akan ditemani oleh jurubahasa yang dilantik untuk memudahkannya berkomunikasi dengan barisan jurulatih dan para pemain.
“Luqman akan diberikan khidmat penterjemah dan tutor. Calon tersebut akan ditentukan oleh NFDP dan kelab. Selain itu, ibu bapanya juga akan ke sana melawat anaknya. Jurulatih NFDP bersama pelatih AMD turut ke sana dari semasa ke semasa untuk sesi percubaan dan pembelajaran.
“Luqman tidak akan rasa keseorangan kerana sentiasa ada yang menemaninya di sana. Urusan kontrak akan dimuktamadkan selepas dia menamatkan peperiksaan SPM dan menyelesaikan tugasannya bersama skuad Malaysia B-18 dalam saingan kelayakan AFC B-19 pada bulan November,” kata sumber tersebut.
Luqman layak secara merit bukan atas ehsan pemilik kelab
Terdapat segelintir peminat bola sepak tempatan menyifatkan pemergian Luqman ke kelab KV Kortrijk menggunakan “kabel” atau atas ehsan daripada pemilik kelab tersebut yang merupakan rakyat Malaysia iaitu Tan Sri Dato Seri Vincent Tan.
Bagaimanapun, sumber tersebut menafikan dakwaan itu dan menjelaskan barisan jurulatih KV Kortrijk terpikat dengan aksi Luqman setelah mereka menonton rakaman video perlawanan yang dihantar oleh wakil NFDP.
“Kami telah menghantar video pertama pada awal tahun ini dan yang kedua selepas kejohanan AFF B-18 pada bulan lepas. Kortrijk telah menghubungi kami melalui pemilik kelab (Tan Sri Vincent Tan), mereka meluahkan hasrat untuk mendapatkan khidmat Luqman.
“Ini secara merit, tiada sebab mereka mahu mengikat kontrak selama 5 tahun jika Luqman tidak bagus.
“Kami juga telah menghantar video 4 pemain lain dalam skuad Malaysia B-18 iaitu Sikh Izhan, Firdaus Kaironissam, Umar Hakeem dan Harith Haiqal ke kelab itu tetapi setakat ini mereka hanya mahukan khidmat Luqman.
“Cardiff City turut menerima rakaman video tersebut tetapi kelab yang berpengkalan di United Kingdom itu tidak boleh menandatangani pemain kita kerana kedudukan ranking FIFA Malaysia yang kurang memuaskan ketika itu (159 dunia),” tambahnya.
Liga Belgium telah melahirkan beberapa bintang terkemuka dunia seperti Eden Hazard, Romelo Lukaku, Kevin De Bruyne dan Vincent Kompany. Ia juga merupakan “pintu” kepada pemain muda berbakat untuk menyinar di Eropah.
“Ianya tidak akan menjadi tugas mudah untuk Luqman di Belgium. Tetapi kita perlukan lebih ramai pemain muda dari Malaysia bersaing di pentas tertinggi untuk menjadikan mereka seorang pemain yang berkualiti.
“Apabila Luqman tiba di Kelab, jurulatih akan menilai dahulu prestasinya dan kemudian akan membuat keputusan untuk menempatkannya dalam skuad utama, bawah 23 tahun atau bawah 18 tahun.
“Kortrijk nampak potensi yang ada pada Luqman. Belgium ialah pintu kepada kelab gergasi di eropah. Ianya adalah tempat dimana pemain baharu mencipta nama dan menunggu peluang untuk masuk kelab besar.
“Sudah tentu dia bukan pemain berkelas dunia yang akan datang, tetapi dia ada potensi untuk menyinar di eropah,” jelasnya.
Luqman akan dihantar ke Cardiff City terlebih dahulu bagi menjalani latihan dan apabila mencecah usia 18 tahun pada Mac 2020, barulah beliau akan menandatangani kontrak profesional bersama kelab yang berpangkalan di bandar Kotrijk itu.
Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin.
Kisah Sahih Mengenai Bagaimana Hubungan Luqman Hakim, KV Kortrijk Dan Cardiff City Bermula
Luqman Hakim Berlatih Bersama Skuad Akademi Bawah 18 Tahun Cerezo Osaka?
Wan Kuzain Bakal Berganding Dengan Luqman Hakim Dan Safawi Rasid?