Persatuan Bola Sepak Emiriyah Arab Bersatu (UAE FA) mengesahkan mereka telah menghantar permohonan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk membida hak sebagai tuan rumah kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022 yang melibatkan pasukan Malaysia, Vietnam, Thailand dan Indonesia.
Penganjuran perlawanan secara karnival menjadi pilihan utama kerana ia dilihat sebagai langkah yang sesuai bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 dan masalah sekatan perjalanan.
Hanya tinggal 3 lagi baki perlawanan dan akan berlangsung pada bulan Jun ini untuk menentukan wakil pasukan ke pusingan ketiga dan slot Piala Asia 2023.
Setiausaha Agung UAE FA, Mohammed Bin Hazam menegaskan pihaknya telah memenuhi semua kriteria yang ditetapkan oleh AFC untuk menjadi tuan rumah. Beliau turut mengumumkan Stadium Zabeel dan Stadium Al Maktoum sebagai venue rasmi semua perlawanan itu.
“Pencalonan UAE memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh AFC termasuk stadium, tempat penginapan, pengadil dan protokol kesihatan berkualiti tinggi yang menjamin keselamatan semua orang,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
اتحاد الإمارات لكرة القدم يتقدم رسمياً بملف استضافة مباريات تصفيات يونيو
بن هزام : واثقون من قدرتنا على الاستضافة ونرحب بكل المنتخبات
اختيار ستاد زعبيل وآل مكتوم لإقامة المباريات #منتخب_الإمارات pic.twitter.com/iGGC7GShKE
— UAEFA (@uaefa_ae) March 4, 2021
Selain UAE, Thailand turut menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah. Mereka mencadangkan agar semua perlawanan diadakan di Stadium I-Mobile, Buriram yang terletak 3 jam dari Bangkok secara ‘Bubble Quarantine’.
Malah, lokasi tersebut juga memenuhi salah satu kriteria utama iaitu sistem penerbangan yang baik untuk ke venue perlawanan kerana terdapat sebuah lapangan terbang di Buriram.
Selain itu, Stadium I-Mobile pernah menganjurkan perlawanan antarabangsa apabila dipilih sebagai tuan rumah perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di antara Malaysia menentang Korea Utara pada bulan November 2017 sekaligus memenuhi kriteria yang diperlukan oleh AFC.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi daripada AFC mengenai tuan rumah kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022 dan dijangka akan diketahui pada minggu hadapan.
Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.
Lebih 30 Pemain Akan Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Harimau Malaya
Pemain Harimau Malaya Bakal Diberikan Suntikan Vaksin COVID-19 Sebelum Ke Luar Negara
Kontrak Tan Cheng Hoe Dilanjutkan 2 Tahun Lagi, Terus ‘Pegang’ Harimau Malaya Sehingga Hujung 2022