Skuad Harimau Malaya akan diberikan keutamaan dalam pemberian suntikan vaksin COVID-19 kerana mereka bakal ke luar negara untuk menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan Mac atau Jun 2021.

Menurut laporan daripada New Straits Times, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin difahamkan telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pemberian suntikan vaksin itu akan memastikan para pemain serta pegawai pasukan selamat daripada dijangkiti wabak itu.

Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe turut menyambut baik pemberian suntikan vaksin itu dan berharap ia selamat serta tiada kesan sampingan negatif untuk para pemainnya.

“Saya rasa vaksin akan membantu pasukan, kami berada diperingkat kelayakan Piala Dunia dan itu memerlukan kami melakukan perjalanan ke luar negara. Bagus jika semua orang dapat.

“Saya tahu ada pandangan yang berbeza mengenai siapa yang patut mendapatkannya terlebih dahulu atau ada kebimbangan mengenai keselamatan vaksin itu.

“Bagi saya, sebagai jurulatih, apa pun yang disyorkan untuk pasukan, saya akan mempertimbangkannya. Anda tidak tahu ketika dalam perjalanan, anda mungkin boleh dijangkiti.

“Tetapi dengan vaksin, kita dapat merasa perjalanan dengan selamat,”katanya dalam NST.

69351181_2344514265645324_4284856625157636096_n
FOTO: FAM

Sebelum ini, Khairy memberi jaminan vaksin COVID-19 yang dibeli Malaysia adalah selamat kerana sudah diuji secara klinikal kepada puluhan ribu orang. Vaksin itu dijangka akan tiba di Malaysia pada bulan Februari nanti.

Berdasarkan jadual, Skuad Harimau Malaya akan bertemu Bahrain dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 19 Mac di Manama sebelum menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang UAE pada 25 Mac 2021 di Dubai dan Vietnam di Bukit Jalil 5 hari kemudian.

Namun begitu, perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 kemungkinan akan ditangguhkan pada bulan Jun dan dijalankan secara format karnival di satu tempat yang akan diumumkan secara rasmi kelak.

Setakat ini, Malaysia, UAE dan Thailand sudah menawarkan diri untuk jadi tuan rumah.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Kem Latihan Pusat Harimau Malaya Pada Bulan Januari Dibatalkan

Hasrat Kobe Chong Beraksi Bersama Harimau Malaya Tertangguh

Ciri-Ciri Menarik Jersi Terbaru Skuad Harimau Malaya

Kontrak Tan Cheng Hoe Dilanjutkan 2 Tahun Lagi, Terus ‘Pegang’ Harimau Malaya Sehingga Hujung 2022