Skuad hoki Malaysia memulakan kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Pakistan 3-1 pada aksi pembukaan yang berlangsung malam tadi.
Baca Juga:
- Piala Dunia Hoki: Malaysia Tewas Ditangan Sepanyol Menerusi Penalti ‘Shoot-Out’
- Piala Dunia Hoki: Malaysia Cemerlang Tundukkan New Zealand
- Tengku Ahmad Tajuddin: Figura Hebat Lonjakkan Hoki Malaysia
Pada perlawanan yang diadakan di di Mayor Radhakrishnan Stadium, Chennai itu, pemain negara seperti Firhan Ashari, Faizal Saari dan penjaga gol, Hafizuddin Othman jelas mencuri tumpuan.
Skuad negara memulakan aksi dengan bertenaga apabila Azrai Aizad Abu Kamal mendapat peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit kelima.
Namun, percubaan menerusi pukulan kilas setelah beliau melepasi kawalan pertahanan Pakistan gagal menemui sentuhan diharapkan.
Empat minit kemudian, percubaan menerusi pukulan sudut penalti oleh Razie Rahim pula diselamatkan dengan baik penjaga gol Pakistan, Akmal Hussin.
Jaringan yang diharapkan oleh kem negara membuahkan hasil pada minit ke-27 selepas Firhan dengan tenang menolak masuk bola susulan hantaran baik daripada Faizal untuk membuka tirai jaringan.
Hanya seminit berselang, Firhan terus membuktikan ketenangannya dengan menyempurnakan peluang dicipta hasil satu lagi hantaran berkualiti dilakukan oleh Faizal bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Skuad negara menambah cengkaman dengan gol ketiga menerusi Shello Shelverius yang mudah menolak masuk bola hasil umpanan Faizal pada minit ke-44.
Hafizuddin membalas kepercayaan diletakkan sebagai penjaga gol utama negara dengan beberapa aksi menyelamat dilakukan ketikan situasi pukulan sudut penalti.
Malah, beliau juga bertindak cemerlang dalam menafikan pukulan penalti strok yang diambil Abdul Rehman ketika permainan memasuki minit ke-53.
Hafizuddin akhirnya tewas pada lewat permainan hasil jaringan tunggal Pakistan menerusi Rehman yang tidak mampu untuk menghalang kemenangan pertama buat skuad Malaysia.