Malaysia meraih kemenangan kedua dalam kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 selepas berjaya menundukkan China 5-1 pada aksi yang berlangsung di Mayor Radhakrishnan Stadium, Chennai sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemenangan penting dilakarkan itu menyaksikan Firhan Ashari sekali lagi mencuri tumpuan dengan dua jaringan dihasilkannya pada suku ketiga dan keempat.

Skuad negara bagaimanapun tersentak seawal minit keempat selepas hantaran jauh dilakukan E Wenhui terkena Lin Changliang yang mengelirukan penjaga gol negara, Zaimi Mat Deris lalu membolehkan Chen Chongcong mudah menolak masuk gol pembukaan.

Faizal Saari kemudiannya kembali mengikat kedudukan selepas beliau menyempurnakan pukulan sudut penalti yang diterima pada minit ke-11.

Berselang empat minit kemudian, Malaysia berada dihadapan hasil jaringan Azrai Aizad Abu Kamal yang melakukan percubaan susulan ketika situasi pukulan sudut penalti sekali gus menceriakan kem negara.

Memasuki minit ke-21, Zaimi bertindak cemerlang dalam menafikan percubaan berbahaya dijelmakan China menerusi pukulan sudut penalti.

Anak buah Arul Selvaraj mengukuhkan cengkaman pada minit ke-45 apabila Firhan yang menerima hantaran Marhan Jalil menguis bola dengan baik untuk memperdayakan penjaga gol China, Chen Qijun.

Jentera serangan Malaysia berterusan mengancam kubu China dan usaha mereka berjaya menambah jaringan keempat dimana sekali lagi dihasilkan oleh Firhan susulan tolakan mudah berpunca daripada gerakan berpasukan yang cukup baik ditampilkan pada minit ke-49.

Jaringan yang menjadikan Firhan sebagai penjaring terbanyak setakat ini dengan empat gol diledakkannya.

Najmi Farizal Jazlan menutup pesta jaringan Malaysia menerusi pukulan sudut penalti yang diambil pemain pertahanan itu melepasi celah kaki Qijun untuk memastikan kemenangan kedua buat Speedy Tigers.

Pemain Terbaik Perlawanan: Azrai Aizad Abu Kamal
Pemain Muda Terbaik Perlawanan: Chen Chongcong (China)