TMJ dalam satu kemaskini melalui laman sosial Facebook Johor Southern Tigers sebentar tadi menyatakan bahawa penswastaan kelab bola sepak adalah satu perkara yang sia-sia jika masih menggunakan dana kerajaan.
Dalam kemaskini itu juga, turut dijelaskan bagaimana kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim yang diwujudkan sejak tahun 2013 itu telah menolak penggunaan dana kerajaan negeri sejak ditubuhkan selain mereka juga memiliki strategi perniagaan tersendiri untuk menjana pendapatan serta membuat pelaburan dalam projek jangkamasa panjang.
“Saya berasa bangga mengemudikan sebuah kelab bola sepak yang tidak bergantung kepada dana kerajaan. Malah, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menolak penggunaan dana kerajaan negeri sejak 2013 kerana ianya adalah wang rakyat dan seharusnya digunakan untuk keperluan lain yang lebih memanfaatkan rakyat, terutama ketika waktu getir seperti pandemik Covid-19 yang menjejaskan kesemua lapisan masyarakat.”
“Saya berbangga kerana JDT mempunyai strategi perniagaan tersendiri — termasuk dari sudut komersil — untuk menjana dana dan melabur dalam projek jangka panjang dan bukannya hanya menunggu kerajaan negeri untuk membina infrastruktur malah mengeluarkan dana setiap tahun.”
“Apa yang sedang berlaku dalam industri bola sepak Malaysia bukanlah penswastaan yang sebenar. Ianya cuma gambaran dimana perkara yang berubah hanyalah di atas kertas tetapi amalan lama masih diteruskan dan tetap mengharapkan dana kerajaan.”
“Apabila saya mewujudkan JDT dan menswastakannya pada tahun 2013, terdapat sebilangan orang yang mempersendakan kami. Sekarang JDT sudahpun mencatat pelbagai kejayaan di dalam dan di luar padang sementara pasukan lain hanya pada hari ini, 2020 memikirkan tentang logo baru mereka.”
Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami sediakan untuk anda.