Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjawab mengenai tindakan pemain pasukannya yang meraikan gol tunggal yang dijaringkan ke atas Negeri Sembilan seolah-olah ianya perlawanan akhir.
Menurut Tunku Ismail, setiap kejayaan yang diraih, baik kecil ataupun besar adalah penting kepada pasukan dan ini hasil daripada pemikiran mentaliti menang yang diterapkan ke dalam setiap pemain.
“Ramai yang cakap kenapa celebrate macam menang perlawanan akhir. Takkan lawan Negeri Sembilan hanya 1-0 saja? Ini jawapan saya. Dalam bola sepak, setiap kejayaan, kecil atau besar, semuanya bermakna.
“Tak kisah siapa pihak lawan, semuanya mustahak. Itulah winning mentality yang sebenar. Takkan apabila lawan JDT sahaja 200 peratus dan lawan pasukan lain main asal boleh.
“Itu bezanya mentaliti JDT yang saya tetapkan apabila saya membina kelab ini. Inilah sebabnya kami berada di mana kami berada pada hari ini. Setiap saat berada dalam kelab ini bermakna buat kami keluarga JDT,” kata TMJ menerusi laman media sosial Instagram Story miliknya.
JDT berjaya meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan menerusi jaringan tunggal penyerang import, Fernando Forestieri pada masa tambahan sekaligus kembali meletakkan pasukan itu di puncak Liga Super.
Meskipun tewas, namun ketua jurulatih Negeri Sembilan, K.Devan memuji persembahan anak buahnya yang berjaya mengekang pemain lawan dan menampilkan prestasi yang baik sepanjang perlawanan.
“Kita bermain macam biasa, semua perlawanan kita main macam ini. Sebelum perlawanan ada saya tengok ada laporan-laporan yang kita akan ‘parking bus’. Jadi kita tak ‘parking bus’ hari ini, kita main macam biasa.
“Kita tahu JDT adalah sebuah pasukan yang bagus. Mereka berada di tahap yang berbeza. Tetapi saya merasakan anak buah saya hari ini mempamerkan karakter sebenar mereka dan cara mereka bermain bola sepak.”
“Saya memberikan tabik hormat kepada pemain saya dengan prestasi yang mereka tampilkan. Saya berasa bangga di atas prestasi setiap pemain,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:
Syihan Hazmi Tampil Cemerlang, Wajar Dipanggil Sertai Skuad Kebangsaan
K. Devan Sanjung Tinggi Aksi Pemain Negeri Sembilan Hadapi JDT
Zhafri Yahya Akui Gol Lawan Penang Yang Tercantik Pernah Dihasilkan