Pemain tengah Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya, mengakui jaringan melalui sepakan voli yang dilakukan ketika berdepan Penang FC, antara yang tercantik dalam kariernya.
Malah dia sama sekali tidak menjangka mampu hasilkan jaringan menerusi teknik sebegitu dengan melepaskan cubaan semasa bola tersebut belum mencecah tanah selepas ditumbuk penjaga gol, Khatul Anuar Md Jalil.
Jaringan tersebut menjadi perhatian utama ramai peminat yang menyifatkan gol tersebut mampu menjadi antara yang terbaik sepanjang pada musim ini.
“Sebenarnya saya belum pernah mencuba lagi cara sedemikian dalam perlawanan lain kecuali semasa sesi latihan, itu pun hanya sekadar mencuba dengan rakan sepasukan.
“Memang tidak jangka cubaan saya itu berjaya menewaskan penjaga gol lawan dan dalam karier, memang itu gol terbaik yang saya pernah hasilkan.
“Saya juga terharu mendapat ucapan tahniah dari ketua jurulatih (Bojan Hodak) dan rakan-rakan selain di media sosial penuh ucapan dari peminat.
“Ramai juga sudah membandingkan jaringan saya itu sama seperti Paolo di Canio (bekas pemain West Ham), bagi saya itu satu perbandingan yang sangat besar namun saya hargai apa jua diperkatakan peminat.
“Namun apa lebih yang menjadi keutamaan saya ialah kemenangan buat pasukan selain jaringan tersebut juga tidak akan terhasil jika bukan kerana kerja keras rakan sepasukan,” katanya.
Itu menjadi jaringan ketiga peribadi Zhafri bagi pentas Liga Super, seterusnya mengatasi rekod dua jaringan yang dilakukan pada musim lalu.
Jaringan Zhafri itu menjadi punca utama kepada kemenangan KL City apabila kebangkitan lewat Penang mengurangkan defisit tiga kepada satu jaringan sebelum menang melalui keputusan 3-2.
Dalam masa sama, beliau melaungkan keyakinan KL City akan lebih konsisten sambil berasakan apa yang terjadi untuk tahun ini,situasinya hampir sama seperti musim lalu.
“Kami seperti lambat panas sebenarnya kalau diperhatikan,tahun lalu pun kami sebegini apabila banyak lepaskan jaringan pada saat-saat akhir pada awal musim.
“Jadi situasi yang sama berlaku lagi pada tahun ini tetapi kami akan cuba perbaiki dari tiap ke tiap perlawanan dan saya yakin KL City akan lebih konsisten,” tambah Zhafri Yahya lagi.
Kemenangan itu meletakkan KL City di tangga kelima Liga Super dengan pungutan 10 mata mengatasi kedudukan Selangor yang tidak turun beraksi bagi saingan minggu kelapan Liga Super.