Lebih 35,000 penyokong dijangka akan membanjiri Stadium Sultan Ibrahim pada malam esok untuk menyaksikan perlawanan CIMB Piala Sumbangsih 2020 di antara pasukan JDT menentang Kedah.

Menurut Setiausaha Kehormat Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Kapten Mohd Anizam Jamian, sebanyak 11,000 keping tiket telah habis dijual di kaunter tiket Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Manakala baki tiket perlawanan telah diperuntukkan kepada Pas Bermusim (5,404), Jualan Dalam Talian (5,000), Boys of Straits (4,000), Pejabat Daerah (3,000), Kelab Penyokong JDT (1,200), Penyumbang Yayasan JDT (850), JDT (1,000), Malaysian Football League (500) dan para Penaja (3,000).

Bagaimanapun, timbul sedikit kekecohan di kaunter tiket apabila beberapa penyokong meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap sistem jualan tiket sehingga terpaksa pulang dengan hampa.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada para penyokong disebabkan masalah seperti ini. Kami akan pastikan untuk berkongsi lebih banyak maklumat di masa akan datang bagi mengelakkan perkara-perkara seperti itu berlaku lagi,” kata Anizam dalam satu kenyataan rasmi.

86224635_1600065323490094_2275319402490494976_o
FOTO: JST

Selain itu, penyokong Kedah turut diberi kuota 800 tiket termasuk tambahan 300 tiket daripada 500 tiket yang diperuntukkan sebelum ini.

Sejarah Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau dikenali sebagai Piala Sumbangsih cukup sinonim dengan skuad hijaukuning. Mana tidaknya Kedah pernah beraksi 7 kali bagi merebut piala tersebut.

Bermula musim 1991 dan menjuarai buat kali pertama pada tahun tersebut, pasukan Kedah merintis 6 lagi perlawanan sumbangsih pada musim 1994, 1997, 2008, 2009, 2017 dan 2018.

Dalam dua pertembungan terakhir Kedah dan JDT dalam aksi pembukaan Piala Sultan Haji Ahmad Shah musim 2017 dan 2018, masing-masing telah merangkul 1 kejuaraan.

Untuk rekod, Kedah telah merangkul 3 kali kejuaraan pada musim 1991, 1994 dan 2017 manakala JDT telah merangkul kejuaraan sebanyak 4 kali iaitu pada musim 2015, 2016, 2018 dan 2019.

Baca artikel lain mengenai perkembangan perlawanan Piala Sumbangsih yang dilaporkan sebelum ini.

Kedah FA Minta 1000 Tiket Perlawanan Piala Sumbangsih Di Stadium Sultan Ibrahim

Piala Sumbangsih: ‘Winning Rate’ JDT Adalah 80% Selain Berpeluang Muncul Pasukan Pertama Juara 3 Kali Berturut-Turut.

Jualan Tiket Piala Sumbangsih 2020 Melalui TicketHotline ‘SOLD OUT’ Dalam Masa 10 Minit?