Juara Piala Dunia 2022, Argentina akan berkunjung ke Asia Tenggara untuk menentang Indonesia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa FIFA pada bulan Jun ini.

Baca Juga:

Ini adalah perlawanan tumpuan peminat bola sepak asia tenggara kerana melibatkan barisan pemain terkemuka dunia.

Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) semalam telah mengumumkan harga tiket bagi perlawanan itu bermula dengan serendah RM185 (Rp600 ribu).

Terdapat 4 jenis tiket merangkumi kategori 1, 2, 3 dan kategori VIP dengan kawasan tempat duduk yang berbeza. Berikut ialah harga tiket bagi setiap kategori tersebut:

  1. Kategori 1 – Rp2.5 juta (RM770)
  2. Kategori 2 – Rp1.2 juta (RM370)
  3. Kategori 3 – Rp600 ribu (RM185)
  4. Kategori VIP – Rp4.25 juta (RM1,300)

Menurut PSSI, jualan tiket ini akan bermula pada 5 Jun dan ia adalah tarikh pemegang kad Bank Rakyat Indonesia mendapatkan tiket itu lebih awal sebelum jualan dibuka kepada umum keesokan harinya.

Sebanyak 60, 000 tiket diperuntukkan untuk perlawanan ini dan ia dijangka habis dalam masa sehari kerana ini adalah satu-satu peluang peminat Indonesia menyaksikan perlawanan bertaraf dunia.

Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni telah menyenaraikan 27 pemain termasuk bintang terkemuka, Lionel Messi dan Angel Di Maria bagi menghadapi Indonesia dan satu lagi pasukan, Australia.

Argentina Bangladesh
Kredit Foto: Argentina Perancis

Tujuh pemain yang disahkan terlepas untuk beraksi dalam perlawanan ini ialah pertahanan kental Manchester United iaitu Lisandro Martinez, Juan Foyth (Villarreal), Papu Gomez (Sevilla), Angel Correa (Atletico Madrid), Lautaro Martinez (Inter Milan) serta Paulo Dybala (AS Roma).

Tidak mahu ketinggalan, ketua jurulatih skuad Garuda iaitu Shin Tae-yong turut memanggil barisan terkuatnya bagi memastikan pasukan itu dapat memberi saingan kepada juara Piala Dunia itu.

Antara pemain yang dipanggil oleh Tae-yong ialah Jordi Amat (JDT), Saddil Ramdani (Sabah) dan Asnawi Mangkualam (Jeongnam Dragons).

Jurulatih dari Korea Selatan itu turut memanggil lima pemain yang baru-baru ini memenangi pingat emas Sukan SEA 2023 di Kemboja seperti Marselino Ferdinan, Witan Sulaeman dan Ernando Ari.