Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil menyifatkan tidak wajar apabila ada sesetengah pihak cuba mensensasikan isu kelewatan satu hari pembayaran hak penyiaran oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada pasukan tatkala ia bukanlah satu perkara yang besar.
Jelas Farouk, beliau bersama pihak pengurusan tidak merasakan kelewatan selama satu hari sebagai isu serius sebaliknya ia proses normal untuk menunggu transaksi pembayaran yang mungkin memakan sedikit masa.
“Bagi kami, bukan masalah besar lewat satu hari kerana yang penting, duit tersebut sudah pun kami terima dan tiada istilah pasukan atau kelab tidak berpuas hati dan sebagainya.
“Biasalah benda-benda negatif ini orang suka tengok dan baca, tetapi tidak eloklah untuk pasukan kerana seolah-olah macam nak menunjukkan sesetengah pasukan suka mencari isu negatif dan seperti ingin melaga-lagakan pula pasukan dengan MFL.
“Sedangkan bagi saya, tiada isu besar pun sebenarnya di mana kami sendiri di PBSNT sudah terima pembayaran tersebut dan kami mengucapkan terima kasih atas usaha MFL kerana kami sedar banyak cabaran perlu ditempuh MFL tahun ini tetapi masih komited bantu pasukan”, katanya.
Setiausaha Agung PKNS FC, Md Adi Harmizi Ariffin turut mengesahkan mereka sudah menerima pembayaran hak penyiaran pada Selasa (16 Julai ) dan ia bukanlah satu kelewatan yang serius.
Bagi pihak PKNS FC, cepat atau lambat tidak menjadi satu masalah besar kepada mereka kerana beliau percaya MFL tetap akan menunaikan janji seperti yang dinyatakan bagi membantu setiap pasukan yang bertanding baik dalam Liga Super atau Liga Premier.
“Cepat atau lambat tidak penting untuk kami kerana saya sendiri percaya pihak MFL bekerja keras dalam menjaga kebajikan serta hal ehwal setiap pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.
“Untuk PKNS FC, dari awal musim lagi kami sudah mempunyai sejumlah bajet yang mencukupi bagi memastikan pasukan tidak berdepan masalah kewangan dan kini wang hak penyiaran pula telah masuk sekali gus memantapkan lagi kantung kami.
“Apa yang penting,kami akan gunakan peruntukan tersebut dengan perancangan yang lebih baik selain turut membuat pelaburan jangka masa panjang bagi kestabilan pasukan kami kali ini”, jelasnya.
MFL semalam mengesahkan kesemua pasukan yang bertanding di Liga Malaysia musim 2019 sudah menerima pembayaran hak penyiaran pada fasa pertama.