Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Satiananthan berang dengan kenyataan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim mengkritiknya sebagai seorang jurulatih yang tidak tahu menilai prestasi pemain muda dalam program pembangunan akar umbi.

Menurut laporan mStar, Lim Teong Kim yang pernah menjadi pengendali akademi remaja Bayern Munich pada tahun 2001 hingga 2013 berkata program NFDP tidak sepatutnya dianggap gagal hanya kerana beliau gagal membawa skuad Malaysia beraksi dalam kejohanan Piala Dunia B-17.

Malah, Teong Kim tidak bersetuju dengan kenyataan Satiananthan yang juga merupakan ketua jurulatih Selangor mengkrittik pemilihan ramai pemain muda daripada AMD dalam skuad B-19 tahun negara.

“Banyak perkara yang saya tidak setuju dengannya. Setahu saya pemain-pemain bawah 21 tahun negeri juga menjalani latihan yang sama dengan AMD setiap hari. Hakikat yang perlu diketahui adalah pasukan bawah 21 atau bawah 19 tahun tidak patut kalah dengan pemain-pemain bawah 16 tahun. Ini sesuatu yang serius. Jangan hanya pandai mengkritik kerana mereka ini semua pasukan baharu,” tegasnya.

Lim teong kim

Bagaimanapun, Satiananthan menganggap kenyataan daripada Teong Kim itu sebagai tidak profesional dan menegaskan beliau tidak harus menuding jari ke arah orang lain di atas kegagalannya memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

“Tentang perlawanan (kejohanan AFC B-16), kita dah buat kajian dan melihat taktikal permainan bersama beberapa jurulatih ada kelemahan (dalam corak permainan).

“Sekarang pun dah kaji video dan juga dalam Youtube, boleh tengok banyak kali berulang-ulang. Tapi kalau dia ingat jurulatih tempatan katak bawah tempurung, saya ingat Bala (S Balachandran) lagi hebat,” katanya kepada Arena Metro.

Pada tahun lalu, skuad B-16 negara gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melepasi peringkat Kumpulan A selepas menamatkan kedudukan di tangga tercorot di belakang Jepun, Tajikistan dan Thailand.

Pada mulanya, pasukan muda negara membelasah Tajikistan 6-2, namun mereka tewas dalam baki dua perlawanan selepas itu menentang Thailand (2-4) dan Jepun (0-2). Kekalahan itu mengundang kecaman daripada pelbagai pihak dan disifatkan sebagai prestasi terburuk berbanding skuad 2004 bimbingan Balachandran yang berjaya melangkah ke suku akhir.

“Tak ada orang kacau NFDP atau AMD (Akademi Mokhtar Dahari) dan tak ada orang suruh berhenti sebaliknya semua orang sokong. Saya sendiri suka akan program ini kerana ia adalah program pembangunan.

“Jadi jangan putar belit kata macam-macam padahal kita bercakap sebab sayangkan bola sepak negara. Kalau ada kelemahan ambil ianya secara positif dan jangan salahkan orang lain,” kata Satiananthan.

Sumber