Pemain naturalisasi, Lee Andrew Tuck mengumumkan beliau tidak lagi menyarung jersi Sri Pahang dalam saingan Liga Malaysia mulai musim depan sekaligus mengejutkan para peminat tok gajah semalam.
Beliau yang kini bersama skuad kebangsaan untuk kempen Piala AFF Mitsubishi Electric hanya sempat beraksi dalam 2 perlawanan Piala Malaysia pada musim 2022 setelah berehat panjang untuk menguruskan proses naturalisasinya.
Proses naturalisasinya itu turut dibantu oleh pengurusan Sri Pahang dan mendapat perkenan daripada pemilik kelab, YAM Tengku Abdul Rahman Al Haj Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Bagaimanapun, punca beliau meninggalkan tok gajah tidak didedahkan namun peminat sudah mula membuat pelbagai spekulasi mengenai perpindahan ke pasukan gergasi di media sosial.
“Malangnya masa saya bersama Sri Pahang telah sampai ke penghujungnya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang hebat yang saya temui dalam kelab, peminat dan rakan-rakan lain yang saya temui di negeri yang menakjubkan ini.
“Saya dan keluarga bersedih untuk berpindah dan walaupun saya ingin bermain lebih kerap bersama kelab, saya tahu ini adalah sebahagian daripada bola sepak dalam mengharungi cabaran dan pengalaman yang anda dapat kongsikan,” tulis Lee Tuck menerusi laman instagram.
Sebelum ini, Sri Pahang cuba untuk mendaftarkan pemain yang berusia 34 tahun itu sebagai pemain tempatan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia namun usaha mereka tidak berjaya.
Pindaan peraturan pendaftaran pemain naturalisasi oleh Malaysia Football League (MFL) pada bulan september lepas membolehkan beliau didaftarkan sebagai pemain tempatan untuk saingan Piala Malaysia bersama seorang lagi pemain naturalisasi, Sergio Aguero.
Kesempatan beraksi dalam Piala Malaysia dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempamerkan aksi terbaik sehingga berjaya memikat pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk dipanggil ke kem latihan pusat.
Lee Tuck juga turut membalas kepercayaan tersebut apabila membantu menjaringkan 2 gol dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Kemboja dan Maldives.
Malah, beliau juga berpeluang mewakili Malaysia di Piala Asia pada tahun 2024 jika konsisten dengan mengekalkan prestasi cemerlang bersama kelab baharu musim depan.