Dua kuasa besar futsal Asia Tenggara (ASEAN), Thailand dan Vietnam terus mengukir pencapaian hebat apabila berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia Futsal 2021 di Lithuania yang akan berlangsung pada September nanti.
Kejayaan dua jiran tetangga Malaysia itu melengkapkan senarai 24 pasukan dimana Iran, Jepun dan Uzbekistan turut menjadi wakil Asia dalam saingan futsal paling berprestij tersebut.
Laluan berbeza dihadapi kedua-dua pasukan apabila Thailand mudah melangkah ke pusingan akhir setelah membelasah Iraq 11-2 secara agregat.
Gol-gol pasukan Thailand yang sememangnya mempunyai reputasi hebat di Asia disumbang oleh ketua pasukan, Kritsada Wongkaeo [empat gol] serta dua gol menerusi Jirawat Sornwichian, Muhammad Osman Musa dan Jetsada Chudech serta satu jaringan Pornmongkol Srisubseang.
Sementara itu, Vietnam berhempas-pulas mengekang tekanan hebat diberikan Lebanon pada lewat aksi untuk turut sama beraksi di Lithuania apabila menang menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan setelah terikat 1-1 secara agregat.
Kemenangan yang diraih menyaksikan Thailand bakal beraksi dalam saingan Piala Dunia Futsal buat kali keenam berturut-turut manakala Vietnam pula merasai pengalaman kedua selepas membuat penampilan pertama pada edisi 2016 di Colombia.
Sebagai rekod, Brazil muncul sebagai pasukan paling berjaya dalam saingan Piala Dunia apabila negara yang menduduki tangga kedua ranking dua itu muncul juara sebanyak lima kali iaitu pada tahun 1989, 1992, 1996, 2008 dan 2012.
Baca artikel lain dari kami mengenai sukan futsal:
Kenali Zuhairi Sholahuddin, Pemain Import Pertama Beraksi Di Liga Futsal Indonesia
Wahyu Kocoy Yakin Skuad Futsal Sabah Mampu Beri Cabaran Hebat
Elemen Futsal Ke Bola Sepak Jadi Senjata Utama Natanael Siringo Ringo Di Kelantan FC