Andai berbicara tentang Mohd Zuhairi Sholahuddin mungkin tidak ramai yang mengetahui perkara menarik mengenai bekas pemain futsal kelahiran Kuala Lumpur ini. Namun, namanya cukup sinonim dengan kancah futsal tempatan pada satu ketika dahulu.
Hal ini kerana beliau melakar reputasi membanggakan buat negara selaku pemain import pertama yang membuat penampilan dalam saingan Liga Futsal Indonesia [kini dinaikkan taraf sebagai Liga Pro Indonesia].
Seperti diketahui, penganjuran pertandingan futsal di Indonesia sentiasa menarik minat ribuan penyokong negara jiran tersebut dan kualiti liga di sana juga cukup baik dengan penglibatan syarikat-syarikat besar.
Dilabel sebagai prospek masa depan futsal negara dengan berbekalkan kelincahan dan disifatkan memiliki bakat semulajadi dalam sukan lima sebelah tersebut, Zuhairi telah dibawa ke Indonesia seawal usia 18 tahun untuk memperkuatkan skuad Brilyan Sport Sulsel pada tahun 2012.
Semuanya bermula apabila kelab dari Makaasar, Sulawesi Selatan itu membawa masuk Qusmaini Noor Rusli yang merupakan jurulatih kelahiran Kelantan pada pertengahan musim bagi menggantikan pengendali terdahulu, Arif Kurniawan.
Qusmaini juga adalah antara individu terawal yang mengesan bakat Zuhairi di mana beliau memberikan pendedahan awal untuk beraksi di saingan liga lebih tinggi apabila menyenaraikannya dalam skuad Negeri Sembilan bagi menghadapi kempen Liga Futsal Kebangsaan 2011/12.
Melihatkan kepada potensi hebat ditampilkan Zuhairi sewaktu mewakili Negeri Sembilan sehingga beliau terpilih menyertai sesi latihan skuad kebangsaan, Qusmaini tidak teragak-agak untuk memanggil pemain muda tersebut.
Ketika dihubungi wakil Vocket FC, Qusmaini mendedahkan kualiti yang ada pada Zuhairi pada ketika itu sebagai prospek masa depan futsal negara membuatkan beliau tertarik untuk membawa Zuhairi ke Indonesia.
Berkongsikan pengalamannya ketika bersama Brilyan Sport Sulsel, Zuhairi mengakui suasana di Indonesia lebih meriah dengan ‘kegilaan’ penyokong di sana.
“Kita semua tahu bahawa suasana di Indonesia dalam perlawanan bola sepak mahu pun futsal memang luar biasa. Ia membuatkan para pemain lebih bersemangat untuk beraksi dan para penyokong akan sentiasa membanjiri stadium setiap kali kami beraksi.”
“Aksi memang sangat agresif dan permainan cukup pantas. Itulah perbezaan yang saya dapat rasai berbanding di Malaysia pada ketika itu,” ujar Zuhairi bercakap kepada wakil Vocket FC.
“Dengan standard di Liga Premier Futsal Malaysia yang semakin meningkat, kini saya rasa tiada perbezaan antara Malaysia dan Indonesia. Pemain kedua-dua negara sekarang sudah sama hebat dari segi individu dan kerja berpasukan.”
“Bersama Brilyan Sport, saya berjaya menjaringkan dua gol dan pasukan kami menamatkan saingan liga di tempat kelima. Meskipun bukanlah satu pencapaian sangat hebat tetapi saya masih berbangga dengan apa yang saya telah lakukan di Indonesia pada usia muda.”
“Semua itu kenangan yang indah buat saya kerana sekarang ini saya sudah tidak lagi beraksi di saingan kompetitif selepas mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL). Kini, saya hanya memberikan tumpuan selaku penjawat awam di Putrajaya,” tambah Zuhairi lagi.
Sebaik sahaja pulang dari Indonesia, Zuhairi menyertai Sabah Quilmes yang turut dilatih oleh Qusmaini dalam menghadapi Liga Futsal Kebangsaan 2013.
Meskipun karier Zuhairi Sholahuddin sebagai pemain futsal tidak lama berikutan kecederaan, peminat futsal tanah air seharusnya berbangga dengan pencapaian yang pernah dilakarkan bekas pemain ini.
Seorang lagi pemain futsal negara yang pernah berkelana ke Indonesia ialah Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin di mana beliau menyarung jersi SKN Kebumen dalam saingan Liga Pro Indonesia 2018.