Kehadiran pemain import dari Indonesia, Natanael Siringo Ringo menyertai Kelantan FC sudah disahkan menerusi pengumuman rasmi di laman Facebook rasmi kelab tersebut, TRW Kelantan FC, semalam.
Berusia 22 tahun, Natanael dilabel sebagai antara prospek masa depan yang mampu untuk menjadi tunjang kekuatan skuad kebangsaan Indonesia, satu masa nanti.
Hal ini kerana pemain kelahiran Medan, Indonesia itu pernah dipanggil menyertai sesi latihan pusat ‘Skuad Garuda’ yang dibimbing oleh pengendali dari Korea Selatan, Shin Tae-yong.
Beliau juga kini sedang menjalani sesi latihan skuad bawah 23 tahun Indonesia yang sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi saingan Sukan SEA di Vietnam bermula 21 November nanti.
Kehadiran bekas pemain Sulut United dan PSMS Medan dalam kempen Liga 2 Indonesia ini dilihat amat bertepatan dengan metodologi baharu yang cuba diterapkan Kelantan FC.
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mahu melihat kualiti baik dalam aksi ditampilkan pasukannya dengan menerapkan elemen futsal dalam bola sepak.
Keadaan itu dibuktikan apabila beliau memilih untuk melantik jurulatih yang cukup terkenal dengan sukan futsal di tanah air dan Asia Tenggara, Qusmaini Noor Rusli sebagai Ketua Pembangunan dan Metodologi pasukan.
Seperti dilaporkan sebelum ini, bakat Natanael juga mula dicungkil daripada futsal dimana beliau pernah beraksi bersama SDR FC Binjai yang beraksi dalam kempen Liga Pro Futsal Indonesia 2018.
Sehubungan dengan kualiti hebat dalam kedua-dua sukan dimiliki oleh Natanael, Qusmaini melihat pemilihan pemain muda ini sebagai sesuatu yang amat baik buat Kelantan FC.
“Saya telah dipertanggungjawabkan oleh pihak pengurusan untuk membuat ‘scouting’ beberapa pemain yang memiliki ciri-ciri ‘hybrid’ yang membawa masuk pemain yang mempunyai elemen ‘Futsal to Fooball’.”
“Jadi, kita mempunyai beberapa nama pemain yang diperhalusi dan akhirnya kita memilih Natanael kerana beliau mempunyai kelebihan menggunakan kedua-dua kakinya. Kekuatan kakinya seimbang.”
“Pemilik pasukan [Norizam Tukiman] dan pengendali pasukan, Marco Ragini juga bersetuju dengan pemilihan Natanael selepas sesi perbincangan dan penilaian dilakukan.”
“Jadi, dia juga mempunyai kepantasan, kelincahan dan teknik yang cukup baik dengan bola. Selain itu, kemahiran membuat keputusan dan kognitif dia juga sangat baik kerana seperti kita ketahui, pemain-pemain futsal ini memang biasa bermain dengan tekanan yang sangat tinggi.”
“Mereka perlu mencari penyelesaian pantas ketika bermain, di sinilah salah satu faktor yang membuatkan kita tertarik untuk membawa beliau ke Kelantan. Selain dari itu, kita juga faham dia merupakan pemain muda tetapi sedikit sebanyak pengalaman ketika bersama sesi latihan skuad bawah 23 tahun Indonesia untuk Sukan SEA mampu membantu.”
“Dengan hasrat pemilik kelab untuk memperkenalkan metodologi baharu dalam bola sepak moden dalam menggabungkan elemen futsal dan bola sepak untuk kita implementasikan buat DNA baharu pasukan, langkah ini dilihat tepat bagi kami membawa masuk Natanael,” tambah Qusmaini lagi.
Natanael Siringo Ringo juga bukanlah individu asing buat Qusmaini kerana beliau pernah mendapat tunjuk ajar jurulatih yang kini sedang melanjutkan pengajian secara dalam talian di University Barcelona Innovation Hub dalam jurusan Metodologi bola sepak itu dalam satu kejohanan futsal tempatan di Medan pada 2019 [bersama pasukan Bank Sumatera Utara].
Dalam perkembangan sama, Natanael difahamkan telah mengikat kontrak setahun dengan pilihan lanjutan selama tiga musim bersama Kelantan FC.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
Ching Hong Aik: Anak Melaka Yang Lakar Kegemilangan Bersama Negeri Sembilan
Amirizdwan Taj: Daripada ‘Striker’ Kolej Perindu UiTM Shah Alam Hingga Dipanggil Datuk K Rajagobal