Ching Hong Aik merupakan antara pemain berbangsa Cina yang pernah mewarnai kancah bola sepak tempatan dan namanya cukup sinonim dengan pasukan Negeri Sembilan.
Meskipun beliau merupakan anak kelahiran Bukit Baru, Melaka tetapi cintanya terhadap Negeri Sembilan, pasukan yang disertai sejak tahun 1996 itu memang tiada tolok bandingnya.
Selepas lima tahun bersama pasukan pertama diwakili sejak meninggalkan Melaka, Ching Hong Aik mengambil keputusan untuk berkelana ke Sarawak tetapi ia hanya mampu bertahan selama semusim dan jodohnya bersama Negeri Sembilan kembali bertaut pada musim 2003.
Fasa kedua beliau bersama Negeri Sembilan bertahan sehingga tujuh musim dan penghujung karier menyaksikan bekas pemain berusia 48 tahun ini berhijrah ke Majlis Perbandaran Muar (MP Muar) pada tahun 2011 sebelum mengumumkan persaraan daripada pentas bola sepak profesional.
Ching Hong Aik boleh dikatakan pemain yang beruntung apabila beliau berjaya memenangi kesemua kejuaraan domestik ketika bersama Negeri Sembilan seperti Liga Super 2005/06, Liga Premier 2005, Piala Malaysia 2009, Piala FA 2003 dan 2010.
Beraksi di posisi bek kiri, Ching Hong Aik dilabel sebagai seorang pemain yang cukup sukar untuk diatasi pemain serangan pasukan lawan ekoran komitmen tinggi dipamerkannya setiap kali diberikan peluang beraksi.
Sehubungan dengan aksi konsisten dijelmakannya, tidak hairanlah Ching Hong Aik sentiasa mendapat tempat walaupun ketua jurulatih skuad Negeri Sembilan bertukar ganti.
Hakikat itu turut diakui sendiri oleh rakan sepasukannya ketika membarisi pasukan Negeri Sembilan musim 1998 dan 1999 yang juga merupakan bekas kapten skuad kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian.
“Beliau memang seorang yang sangat berdisiplin, komited dan rajin ketika sesi latihan dan juga hari perlawanan.”
“Walaupun dengan tubuh yang kecil, tetapi ‘workrate’ yang ditampilkannya setiap kali diberikan peluang beraksi di kesebelasan utama memang luar biasa. Dia juga seorang yang peramah,” ujar Ahmad Shahrul lagi.
Aksi cemerlang Hong Aik tidak hanya tertumpu di peringkat domestik sahaja apabila sebenarnya beliau terlebih dahulu berjaya memikat hati pengendali kelahiran Perancis, Claude Le Roy bagi membarisi skuad Pra-Olimpik 1994.
Selain itu, beliau juga beberapa kali dipanggil untuk membarisi kem latihan pusat skuad kebangsaan yang dibimbing Wan Jamak Wan Hassan dan Abdul Rahman Ibrahim.
Melihatkan kepada pencapaian serta sumbangannya buat pasukan Negeri Sembilan, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Ching Hong Aik merupakan antara legenda yang perlu dikenang oleh para penyokong skuad Hoben Jang Hoben ini.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.