Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali dengan panggilan Zamsaham jelas terkilan dengan sikap lima orang bekas pemain kelab tersebut yang membuat tuntutan penuh baki gaji mereka pada musim lalu.
Menurut sumber dikeluarkan Utusan Malaysia susulan daripada kenyataan di akaun Facebook peribadinya, usahawan dan pakar pelaburan tersebut menganggap tindakan Masaki Watanabe, Nazrin Nawi, Mohd. Farisham Ismail, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Shahrul Nizam Ros Hasni adalah tidak adil bagi bekas rakan sepasukan mereka.
Hal ini kerana pemain-pemain lain telah menyatakan persetujuan untuk pemotongan gaji sebanyak 50 peratus manakala lima pemain tersebut tidak berbuat demikian tetapi sebaliknya mahukan pembayaran penuh.
Mengakui bahawa pihaknya tidak berdepan masalah untuk membuat pembayaran penuh, Zamsaham bagaimanapun mempunyai sebab tersendiri untuk terkilan dengan keputusan pemain-pemain tersebut.
“Seperti yang saya maklumkan pada 5 Mac lalu, kami (Kelantan FC) tiada masalah untuk membuat bayaran penuh kepada lima bekas pemain tersebut setelah ‘legal consel’ kami meneliti dari pelbagai aspek.”
“Bila ambil alih pasukan, barulah saya faham tidak semua pemain (bola sepak) tahu erti terima kasih jauh lagi perkataan tolak ansur.
“Ada pemain yang selalu mengalami kecederaan, kena kad merah, masalah sikap…takkanlah nak dibayar gaji penuh.”
“Maka saya perkenalkan sistem Indek Petunjuk Prestasi (KPI). Yang cemerlang, kita anugerahkan sesuatu. Mereka yang tidak cemerlang kita minta tingkatkan mutu dan kualiti,” ujar Zamsaham.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, lima orang bekas pemain Kelantan itu telah membuat tuntutan menerusi Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) membabitkan tunggakan gaji bagi November tahun lalu berjumlah RM158,857.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
ZamSaham Tidak Berminat Jadi Presiden MFL, Sedang Fokus Beli Kelab Indonesia
MFL Tegaskan Tiada “Double Standard” Kepada Pasukan Liga Malaysia, Termasuk JDT