Kelab Jepun, Nagoya Grampus dinobatkan sebagai juara Kumpulan G dalam saingan AFC Champions League sekaligus menempah tiket ke pusingan kedua apabila menewaskan wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT), 2-1 pada perlawanan kelima di Stadium Rajamangala.

Dalam perlawanan ini, JDT melakukan rombakan dalam kesebelasan utama dengan memasukkan penjaga gol ketiga, Haziq Nadzli dan Adam Nor Azlin di bahagian pertahanan manakala gandingan Hazwan Bakri bersama Ramadhan Saifullah serta Akhyar Rashid menjadi taruhan di bahagian serangan.

E5dUOw2UYAkxFqy
FOTO: JST

Sebaik sahaja pengadil meniup wisel sepak mula, Nagoya Grampus terlebih dahulu membuka akaun jaringan seawal minit ke 3 melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Mateus Dos Santos. Penalti itu diberikan setelah Adam Nor melakukan terjahan keras terhadap Mateus.

Skuad Harimau Selatan cuba bangkit mencari jaringan penyamaan namun Hazwan Bakri yang jarang diturunkan dalam perlawanan kompetitif masih tercari-cari rentak untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.

Pada minit ke 27, Nagoya menambah gol kedua apabila menghukum kelekaan benteng pertahanan JDT melalui tendangan lencong cantik daripada Hiroyuki Abe di luar kotak penalti menewaskan Haziq.

Gol tersebut memberi semangat tambahan kepada pemain Nagoya Grampus untuk terus mengandakan asakan namun JDT sempat mencuri satu gol melalui Ramadhan Saifullah yang merembat masuk bola muntah hasil tendangan Corbin Ong pada minit ke 42.

Jaringan Ramadhan itu telah memecahkan rekod tanpa bolos Nagoya Grampus dalam kumpulan G. Berdasarkan rekod, kali terakhir gawang pasukan itu bocor adalah pada 26 Mei 2021 ketika menentang Vegalta Sendai dalam saingan J1 League. Keputusan 1-2 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

205720444_2050889095074379_7429975698892485029_n
FOTO: JST

Memasuki separuh masa kedua, Nagoya bermula dengan lebih garang dan hampir menambah gol ketiga namun rembatan Mateus tersasar walaupaun Haziq Nazli sudah tewas.

JDT juga memperoleh peluang terbaik untuk menjaringkan gol penyamaan tetapi malangnya rembatan Leandro Valazquez terkena palang. Pada minit ke 68, dua pertukaran pemain telah dilakukan dengan memasukkan Safiq Rahim dan Syafiq Ahmad bagi menggantikan tempat Hazwan Bakri serta Akhyar Rashid.

Kehadiran dua pemain tersebut ternyata telah merubah corak permainan JDT dan mereka kelihatan lebih yakin menyerang kubu Nagoya Grampus. Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh turut dimasukkan pada minit ke 76 untuk menggantikan tempat Ramadhan yang mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, percaturan itu tidak berjaya membantu JDT menambah gol penyamaan dan perlawanan berakhir dengan keputusan 1-2 sekaligus menghadiahkan 3 mata penuh untuk Nagoya Grampus yang masih kekal dengan rekod tanpa kalah setakat ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan JDT melalui pautan dibawah. 

ACL 2021: Pohang Steelers Terus Bikin JDT Terluka

Hong Wan: JDT Adalah Kelab Terbesar Dan Terbaik

JDT Nafi Tuduhan Mereka Punca Penurunan Prestasi Safawi Rasid