Dibolosi dua gol dalam tempoh empat minit nyata mengecewakan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tewas 0-2 di tangan Pohang Steelers pada aksi keempat kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) 2021 yang berlangsung di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.
Turun dengan misi untuk membalas dendam di atas kekalahan 1-4 bertemu lawan sama tempoh hari tidak seperti yang diharapkan selepas JDT gagal untuk mencipta sebarang percubaan tepat meskipun cuba untuk memberikan saingan.
Wakil Korea Selatan itu menguji gawang JDT seawal minit ketiga apabila Boris Tashti yang menerima ‘cutback’ daripada Lee Sang-Hyub melakukan percubaan yang sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.
Meskipun Pohang lebih banyak mengawal permainan, Safawi Rasid hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-17. Namun, percubaan sepakan percuma diledakkannya sekadar singgah di tiang gol ketika penjaga gol, Kang Hyeon-mu sudah pun tertewas.
Tersentak dengan percubaan tersebut, Pohang Steelers kembali memperkemaskan aksi dan mendapat peluang berselang lima minit kemudian. Tetapi, tandukan Boris ketika menerima umpanan cantik Sang-Hyub sedikit tersasar.
Gerakan menarik dimulakan Pohang dari kawasan sendiri pada minit ke-33 berjaya membuahkan hasil apabila Lee Seung-mo yang tidak dikawal setelah menerima lorongan cantik dari Goh Young-Jun dengan tenang menyudahkan peluang untuk membuka tirai jaringan.
Tiga minit kemudian, skuad kendalian Kim Gi Dong itu mengukuhkan kedudukan selepas hantaran ‘satu-dua’ Kang Sang-woo bersama Boris disudahkan dengan cukup baik ketua pasukan itu untuk meluru pantas ke arah kawasan penalti dan kemudiannya mudah menewaskan Farizal Marlias di gawang JDT.
Memasuki babak kedua, Pohang terlepas peluang untuk menambah kedudukan setelah tandukan pemain pertahanan, Kwon Wan-Kyu hasil sepakan penjuru Sin Jin-Ho terkena palang gol pada minit ke-68.
Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk Pohang kekal di tangga kedua dengan sembilan mata, terikat dengan Nagoya Grampus Eight yang kekurangan satu perlawanan.
Manakala, JDT masih lagi di kedudukan ketiga dengan tiga mata, berkelebihan tiga mata meninggalkan Ratchaburi Mitr Phol.