Selepas satu, satu, penaja yang menggantung tajaan mereka berikutan tekanan kerajaan ke atas Chelsea.

Sebelum ini firma telekomunikasi Three menggantung tajaan mereka untuk tajaan jersi Chelsea. Di mana syarikat tersebut sudah mengarahkan Chelsea menanggalkan semua logo mereka daripada jersi dan premis kelab.

Chelsea FC dibekukan sebagai aset dan beberapa langkah sekatan dikenakan. Tetapi kelab bola sepak itu telah diberi lesen khas untuk meneruskan ‘aktiviti berkaitan bola sepak’.

Jurucakap pejabat Perdana Menteri Britain menyatakan bahawa lesen khas itu lebih kepada untuk membantu Abramovich menjual kelab itu kepada pembeli baharu.

Namun hasil jualan tidak boleh diambil oleh Abramovich. Chelsea kini dilarang untuk menjual barangan rasmi kelab, tiket hari perlawanan, dan juga tidak dibenarkan untuk melanjutkan kontrak pemain serta membeli pemain.

Hanya pemegang pas bermusim sahaja boleh masuk ke stadium. Kemudian perbelanjaan perjalanan mereka turut dihadkan membuatkan Chelsea terpaksa mencari hotel budget untuk perlawanan di luar London.

Kerajaan tetap membenarkan Chelsea FC menerima wang daripada hak penyiaran. Oleh sebab itu, badan penyiaran terus dibenarkan untuk menyiarkan kesemua perlawanan Chelsea tanpa sebarang sekatan.

Chelsea kini berdepan pelbagai masalah selepas pemilik Roman Abramovich yang dikenakan sekatan kerana kaitannya dengan Vladimir Putin, ketika kerajaan UK terus menambah tekanan ke atas Rusia berhubung pencerobohannya ke atas Ukraine.

Abramovich disahkan kerajaan UK sebagai oligarki pro-Kremlin, walaupun Abramovich menafikan kaitannya dengan dasar kerajaan Vladimir Putin.

Abramovich telah dikenakan pembekuan aset dan larangan perjalanan dalam senarai sekatan yang dikemas kini yang diterbitkan pada Khamis lalu.

Selepas Three, Hyundai pula mengeluarkan kenyataan bahawa mereak mempertimbangkan untuk menarik tajaan mereka ke atas Chelsea.

Dan kini, penaja pembekal jersi rasmi mereka, Nike pula sedang membincangkan langkah untuk menarik diri daripada tajaan mereka.

Nike dan Chelsea sebelum ini memterai perjanjian 15 tahun pada 2016 yang bernilai £900 juta. Masih ada baki £540 juta lagi dalam perjanjian tersebut.

Chelsea berpotensi kehilangan angka itu jika Nike menarik diri.

Sumber Daily Mail menyatakan bahawa, Nike mahu menunjukkan solidariti mereka kepada isu kemanusiaan di Ukraine.

Ini adalah tamparan hebat buat Chelsea kerana ianya melibatkan tajaan sangat besar. Chelsea berharap mereka akan segera menyelesaikan isu pemilikan baharu kelab. Kerajaan memberikan Roman Abramovich 81 hari untuk menjual Chelsea.