Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah melancarkan jersi Nike terbaharu untuk musim 2022 akan datang dalam majlis pelancaran yang turut dimeriahkan dengan kehadiran para penyokong di Stadium Sultan Ibrahim.
Mengambil inspirasi daripada warna bendera Johor, kit JDT ‘Home’ terus kekal dengan identiti mereka dalam melakar sejarah dan merangkul kejayaan. Jersi ‘Away’ pula datang dengan warna putih dan merah jambu.
Pada tahun 2022, Nike meneruskan tajaannya kepada JDT untuk musim ke-lapan sejak 2014. JDT akan menggunakan jersi ‘Home’ dan jersi ‘Away’ terbaharu yang direka khas dengan teknologi tinggi. Kit kelab baharu JDT menampilkan teknologi ‘Nike Dri-Fit’.
Pengenalan jersi baharu tersebut dilancarkan menerusi sebuah video berdurasi 4 minit 30 saat dengan menyaksikan penampilan beberapa pemain JDT.
Video tersebut dibuat dengan plot cerita berkonsepkan budaya buli dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang semakin berleluasa pada masa kini. JDT sekeras-kerasnya menentang segala aspek berkaitan budaya buli.
“Masa depan bola sepak dipenuhi bakat-bakat tempatan yang membawa kemahiran bola sepak dan semangat terhadap permainan.” kata Nike.
“Masa depan bola sepak juga inklusif, yang merangkumi semua pemain dari pelbagai umur dan latar belakang.”
“Nike komited untuk melabur dalam masa depan bola sepak dan memberi takrifan semula sukan ini buat generasi baharu.”
“Tahun ini, kami melancarkan bukan sahaja jersi lelaki malah turut melancarkan jersi wanita dan kanak-kanak sekaligus menyatukan keluarga terhadap sukan kegemaran ini.”
Harga bagi kedua-dua jersi ini boleh didapatkan pada harga RM299 sehelai. Untuk pertama kalinya, Nike melancarkan jersi khas untuk saiz Wanita (RM299) dan juga saiz Kanak-kanak (RM235).
Harga jersi 2022 berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini kerana jersi yang dijual kepada penyokong kali ini adalah ‘Stadium Version’ yang menggunakan material (DRI FIT) yang hampir sama dengan rekaan replika.
‘Stadium Version’ menggunakan kain yang lebih berkualiti berbanding ‘Fan Version’ yang dijual pada beberapa tahun yang lepas dimana ia juga menyerupai rekaan asal.
Jersi JDT Nike 2022 kali ini adalah hampir sama dengan jersi pemain. Inovasi Nike fokus kepada potongan jersi dan produk bersifat ‘breathable’. Ini akan membolehkan penyokong merasai apa yang dipakai oleh pemain dan memberikan perhubungan yang lebih rapat antara mereka.
Para penyokong boleh mendapatkan jersi tersebut di JDT Online Store serta pengedar-pengedar berdaftar Southern Tigers Sdn Bhd (STSB) di semua daerah-daerah di negeri Johor.
Karnival turut diadakan sempena majlis pelancaran ini dengan beberapa aktiviti dan permainan menarik khas untuk para penyokong Harimau Selatan.
Para penyokong juga akan menyaksikan persembahan ‘Laser & Effects’, persembahan ‘buskers’ dan ‘drumline’ serta persembahan artis-artis tempatan seperti SonaOne, Aman Ra, Zamaera, DJ Cza dan bekas ‘Miss World Malaysia & Miss Universe Malaysia’ Shweta