Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam mengesahkan kemungkinan penstrukturan semula pentadbiran badan induk pengendali Liga Malaysia itu bakal menyaksikan pemansuhan jawatan Pengerusi MFL.
Menurut Kevin, cadangan pemansuhan jawatan Pengerusi MFL itu adalah sebahagian daripada penstrukturan semula pentadbiran yang terkandung dalam MFL Next50 Strategic Blueprint 2021-2070 yang dilancarkan pada 15 Julai lalu.
Cadangan itu disokong oleh Pengerusi MFL Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang melihat penstrukturan semula itu bakal memantapkan lagi pentadbiran MFL yang tidak lagi diterajui oleh seorang pengerusi sebaliknya dikawal sepenuhnya oleh Ahli Lembaga Pengarah.
Bagaimanapun keputusan untuk meminda perlembagaan itu bergantung kepada persetujuan 24 rakan kongsi MFL iaitu pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia pada kongres yang dijangka pada September nanti.
Tambah Kevin, Tunku Ismail bersetuju dengan penstrukturan semula itu kerana baginda tidak mahu MFL menerima tempias dan kritikan kononnya baginda memiliki sentimen berat sebelah selaku pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Agak mustahil untuk MFL beroperasi sekiranya terdapat persepsi negatif yang berterusan terhadap MFL jika mana-mana satu wakil dilihat mempunyai kuasa yang lebih tinggi berbanding orang lain. Namun ini cuma persepsi kerana Pengerusi MFL (Tunku Ismail) tidak pernah menggunakan mana-mana kuasanya sebagai pengerusi untuk mempengaruhi sesuatu keputusan.
“Untuk makluman, ada beberapa kali Pengerusi MFL enggan mengundi dalam sesuatu mesyuarat dalam membuat keputusan. Ini untuk memastikan ahli lembaga pengarah dapat membuat keputusan dengan lebih bebas.
“Walaupun penstrukturan semula yang dicadangkan itu mungkin dianggap lebih adil bagi sesetengah pihak, realiti adalah bahawa MFL sebenarnya bertuah dan bernasib baik untuk mempunyai pimpinan TMJ di mana matlamatnya selalu menuju ke arah kebaikan liga Malaysia secara umum dan tidak pernah mengambil kira mengenai diri baginda sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kevin memberitahu sebarang penstrukturan semula yang dicadangkan perlu diluluskan pada mesyuarat rakan kongsi liga MFL.
Jelasnya, ia adalah tanggungjawab sekretariat untuk mencadangkan perubahan untuk agenda mesyuarat rakan kongsi ini walaupun MFL telah mengetahui bahawa kepimpinan di bawah TMJ telah banyak membawa faedah selama ini.
“Persijilan ISO 9001 mencerminkan cita-cita pengurusan kami. Sekali lagi, hasrat TMJ untuk menstruktur MFL untuk mematuhi piawaian tertinggi tadbir urus dan kesaksamaan yang baik mencerminkan dirinya sebagai pemimpin di mana setiap orang di bawah kepemimpinannya sama ada pasukan, peminat atau sekretariat MFL diberi keutamaan terlebih dahulu sebelum kepentingannya sendiri.
“Mengikut proses, MFL akan memanggil mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah yang melibatkan pertemuan rakan kongsi liga. Ini akan dilakukan pada minggu selepas berakhir final Shopee Piala FA 2019.
“Apabila rakan kongsi mengadakan mesyuarat, mereka akan mengundi untuk meluluskan sebarang perubahan dalam struktur MFL tetapi niat TMJ sangat jelas dan baginda telah konsisten dalam membuat keputusannya untuk kepentingan MFL,” katanya.
“Saya dapat melihat maksudnya dan tujuannya dan hanya seorang pemimpin yang berkaliber yang dapat merancang dan melaksanakan semua yang telah dilakukannya, termasuk keinginan untuk memastikan bahawa MFL memenuhi standard tadbir urus tertinggi dan jangkaan rakan kongsi.
“Tidak mudah untuk TMJ sentiasa kekal neutral dan membuat keputusan untuk memperbaiki MFL ketika baginda turut dikritik berat sebelah di mana JDT sendiri dituduh menjuarai liga hanya kerana TMJ adalah Pengerusi MFL.
“Ini adalah kenyataan yang tidak masuk akal kerana JDT memenangi banyak trofi sebelum TMJ dilantik Pengerusi MFL dan dengan perancangan yang ada mereka akan tetap memenangi trofi selepas TMJ bukan lagi menjadi pengerusi MFL.
“Buat masa ini sebagai sekretariat, kami mempunyai tugas untuk dilakukan dan kami akan memastikan bahawa penstrukturan semula yang dicadangkan dibawa ke perhatian rakan kongsi sebelum mesyuarat rakan kongsi,” ujarnya