Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan untuk membatalkan hak Indonesia sebagai tuan rumah temasya Piala Dunia B-20 Tahun.

Baca Juga:

Selepas perjumpaan antara Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir, FIFA memutuskan untuk membatalkan hak Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 Tahun selepas menilai beberapa faktor.

“Tuan rumah baharu akan diumumkan dalam masa terdekat, dengan tarikh kejohanan pada masa ini kekal tidak berubah. Potensi sekatan terhadap PSSI juga mungkin diputuskan pada perbincangan peringkat seterusnya.

“FIFA ingin menggariskan bahawa di sebalik keputusan ini, kami tetap komited untuk membantu PSSI, dengan kerjasama erat dan dengan sokongan kerajaan Presiden Joko Widodo, dalam proses transformasi bola sepak Indonesia berikutan tragedi yang berlaku pada Oktober 2022.

“Ahli daripada FIFA akan terus hadir di Indonesia dalam beberapa bulan akan datang dan akan memberikan bantuan yang diperlukan kepada PSSI, di bawah pimpinan Presiden Thohir,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan FIFA.

Sebelum ini, Gabenor Bali, I Wayan Koster menolak kehadiran Israel ke negeri tersebut dimana Bali sebelumnya turut dijadikan sebagai venue untuk proses undian peringkat kumpulan.

Sebelum ini, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Indonesia menolak kehadiran skuad B-20 tahun Israel dimana mereka menjadikan isu kemanusiaan dan keamanan seperti kezaliman regim Israel ke atas Palestine sebagai faktor utama mengapa mereka menolak.