Angus Ng Ka Long terus menjadi masalah buat Lee Zii Jia apabila beliau tunduk kepada lawan dari Hong Kong itu pada pusingan pertama Kejohanan Terbuka Korea 2023 yang berlangsung di Jinnam Stadium sebentar tadi.
Baca Juga:
- Roslin Hashim Beri Bayangan Terdapat ‘Parasit’ Dalam Badminton Negara
- Norza: Kembalinya Gandingan Izzudin-Sze Fei Berita Baik Buat Badminton Malaysia
- Rexy Mainaky, Nasihat Mendiang Bapa Dorong Karier Hebat Takluk Dunia Badminton
Ia merupakan kekalahan keempat berturut-turut Zii Jia kepada pemain ranking ke-14 dunia itu yang mana Angus ketika ini dibimbing oleh Wong Choon Hann.
Manakala lebih menarik untuk diperkatakan, Lee Zii Jia pula mendapat bimbingan bekas jurulatih Ka Long iaitu Wong Tat Meng.
Aksi pada set pertama memperlihatkan kedua-dua pemain saling kejar mengejar mata dengan Zii Jia mendahului 11-10 untuk rehat ‘interval’.
Selepas itu, beliau terus ke depan utnuk memiliki kelebihan empat mata. Namun, Angus Ng Ka Long lebih tenang untuk bangkit bagi mencatatkan kemenangan 21-15.
Skrip sama berulang pada set kedua dengan kelebihan 11-10 dimiliki oleh pemain perseorangan nombor satu negara itu dan kali ini beliau lebih bernasib baik dengan kemenangan 21-18 untuk mengheret aksi ke set penentuan.
Aksi sengit terus ditampilkan pada set ketiga dimana jurang satu mata dapat disaksikan hingga kedudukan 12-13 memihak Ng Ka Long.
Kesilapan-kesilapan mudah dilakukan Zii Jia terutamanya menerusi tolakan keluar gelanggang memberikan ruang buat Ng Ka Long untuk menjarakkan kedudukan hingga 19-14.
Lee Zii Jia cuba bangkit dengan tambahan tiga mata tetapi ia sudah terlambat untuk menghalang kemenangan Ka Long dengan keputusan 21-17.
Berdasarkan statistik, ini merupakan kekalahan keempat buat Lee Zii Jia di pusingan pertama pada lima kejohanan terakhir. Keadaan yang nyata membuatkan Wong Tat Meng banyak kerja rumah untuk diberikan kepada anak didik baharunya itu.
Selain Zii Jia, beberapa lagi wakil negara yang tersingkir pada aksi hari ini ialah Leong Jun Hao, Goh Jin Wei, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing, Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Manakala, Ng Tze Yong mengetuai cabaran negara untuk layak ke pusingan kedua yang berlangsung esok bersama-sama Pearly Tan-M. Thinaah, Goh Sze Fei-Izzuddin Rumsani, K. Letshanaa, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan S. Kisona.