Nasib berbeza dihadapi dua perseorangan utama negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2023 yang berlangsung sebentar tadi.
Baca Juga:
- Terbuka Jepun 2023: Empat Wakil Negara Lepasi Cabaran Awal
- Terbuka Korea 2023: Sze Fei-Nur Izzudin Mara, Aaron-Wooi Yik Kandas
- Terbuka Korea 2023: Lee Zii Jia Tersingkir Di Pusingan Pertama
Ia berikutan kekalahan dialami Lee Zii Jia ke atas Kenta Nishimo dalam pertarungan sengit tiga set manakala Tze Yong pula berjaya membalas dendam terhadap pemain Singapura, Loh Kean Yew.
Zii Jia yang tersingkir awal pada Terbuka Korea minggu lalu mendapat kelebihan set pertama dengan kemenangan 22-20.
Tetapi lawan dari Jepun itu bangkit melawan pada set kedua untuk mengikat kembali kedudukan bagi mengheret perlawanan ke set penentuan hasil kemenangan 21-17 walaupun pada peringkat awal Zii Jia mendahului dengan agak selesa 8-2.
Saingan sengit terus ditampilkan kedua-dua pemain pada set ketiga yang akhirnya menjadi milik Nishimoto dengan kemenangan 21-19 untuk mara ke pusingan kedua.
Ia merupakan kali keempat berturut-turut Lee Zii Jia tewas seawal pusingan pertama dalam siri jelajah dunia Persatuan Badminton Dunia (BWF).
Lain pula ceritanya buat Ng Tze Yong yang berjaya menebus kekalahan pada minggu lalu ke atas Kean Yew dengan aksi penuh bertenaga dijelmakannya.
Kejayaan menundukkan pemain ranking ketujuh dunia itu 21-16, 21-17 menyaksikan Ng Tze Yong akan berhadapan dengan pemenang antara dua pemain Jepun iaitu Kento Momota dan Koki Watanabe.
Sementara itu pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani meneruskan rentak cemerlang selepas kembali digandingkan apabila menundukkan wakil tuan rumah, Ayato Endo-Yuta Takei 21-18, 21-15.
Menanti mereka esok ialah Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi yang sebelum itu berhempas pulas menundukkan Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi 21-18, 25-23.
Manakala seorang lagi wakil negara dalam acara perseorangan lelaki, Cheam June Wei tewas mudah ditangan bintang Indonesia, Jonathan Christie 7-21, 9-21.